Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Sebagai inisiatif bagi menyediakan platform kepada para mahasiswa untuk mempamerkan kemahiran perbahasan mereka serta memberikan kesedaran bahawa perbahasan secara sihat boleh memberikan kesan dan kebaikan kepada masyarakat, Kelab Debat Universiti Brunei Darussalam (UBD) petang tadi mengadakan perdebatan persahabatan bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Perdebatan persahabatan itu, yang diadakan di ruang senat Dewan Canselor UBD, telah dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, selaku tetamu kehormat dan dipengerusikan oleh Pengerusi Kelab Debat UBD, Awang Muhammad Nasri bin Haji Metali dan Naib Pengerusi, Christopher Ijok.
Christopher berkata, “Matlamat masa depan kelab itu adalah untuk menjadikan perbahasan sebagai pilihan bagi belia-belia Brunei, di mana ia memberi mereka peluang untuk menyertai persaingan debat sama ada di Brunei atau di luar negera.
“Bahkan sesi perdebatan juga mampu menjadikan fikiran lebih kritis serta dapat menghapuskan ketakutan untuk berbicara di hadapan umum.”


Dalam perdebatan yang merangkumi tiga pelajar daripada Kelab Debat UBD dan tiga pelajar dari UNISSA, mereka telah diberi tajuk perbahasan yang berkaitan dengan akibat teknologi kepada identiti budaya Brunei.
Antara yang dikaitkan adalah mengenai kesan teknologi masa kini kepada budaya Brunei. Ini termasuk menggunakan telefon pintar dan akses ke Internet, yang mana mampu membawa kepada kesan negatif kepada identiti budaya seperti nilai, norma dan tingkah laku.
Kelab Debat UBD yang dibentuk pada awal tahun 2017 berhasrat untuk meningkatkan kesedaran dan kepentingan orang ramai terhadap dunia perbahasan.
Ia adalah satu bentuk interaksi yang menimbulkan intelektual yang boleh memberi manfaat kepada pengetahuan akademik dan pengetahuan dunia.