Khamis, November 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepentingan dastar, sinjang sebagai warisan melayu

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Seramai 90 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah menyertai Bengkel Menambat Dastar dan  Menapih Sinjang yang diadakan di Dewan Tarbiah, KUPU SB baru- baru ini.

    Bengkel antara lain menekankan kepentingan dastar dan sinjang sebagai warisan melayu sejak zaman berzaman.

    Fungsi kedua-duanya amat penting kerana jika salah satunya tiada, maka pakaian baju Melayu,  khasnya dalam Majlis Adat Istiadat, tidak lengkap dan akan kelihatan ganjil.

    Pemakaian dastar dan sinjang agak lumrah dan menjadi pakaian seharian bagi generasi terdahulu.

    Sebagai salah satu acara dalam Bengkel Tarbiah Seni Islam, bengkel antara lain bertujuan untuk mendedahkan para peserta dengan nilai pendidikan dan pembentukan rohani melalui  cabang seni Islam dan kebudayaan, yang sangat releven bagi mahasiswa mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi.

    Ia secara tidak langsung, membina jati diri para peserta sebagai penerus budaya dan tamadun Islam.

    Di samping itu, bengkel seumpama ini juga diharap dapat menjadi wadah dakwah yang efektif sekaligus menjadi pemangkin untuk menghargai warisan  bangsa khasnya nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).

    Bengkel anjuran Exco Kesenian dan Kebudayaan Islam, Majlis Perwakilan Pelajar KUPU SB itu disampaikan oleh fasilitator jemputan dari Jabatan Adat Istiadat Negara.

    Gambar suasana sekitar Menambat Dastar dan Menapih Sinjang di KUPU SB baru- baru ini. – GAMBAR SERAHAN KUPU SB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda