Saturday, August 13, 2022
24 C
Brunei

Kepentingan pelaburan dalam bidang pertanian, makanan

-

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan MMN

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Delegasi daripada parlimen-parlimen rantau ASEAN, rantau Afrika dan Eropah termasuk Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Majlis Mesyuarat Negara (MMN), telah menghadiri Webinar mengenai Pelaburan Bertanggungjawab dalam Pertanian dan Sistem Makanan yang berlangsung secara dalam talian, kelmarin.

Menurut kenyataan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, webinar itu adalah anjuran bersama Sekretariat Perhimpunan Antara Perliman ASEAN (AIPA), Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) dan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Mapan (IISD), di mana mewakili MMN ialah ahli MMN, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @Jahari.

Turut hadir ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

Dalam kenyataannya, Yang Berhormat Haji Mohimin menyatakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebelum ini menekankan akan keperluan untuk negara memajukan bidang pertanian.

Brunei, lebih-lebih lagi semasa situasi pandemik ini, amat mementingkan dan mengutamakan pembangunan pertanian dan agrimakanan dalam memastikan keselamatan bekalan makanan dan meningkatkan sumbangan ekonomi kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin turut menyertai sidang itu sebagai jurutulis.
Yang Berhormat Haji Mohimin semasa menyertai sidang secara maya bersama AIPA, FAO dan IISD.

Semasa Sidang Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFSS) yang diadakan baru-baru ini, Brunei telah menekankan komitmen dalam memperkukuhkan sistem makanan dan mempercepatkan pertumbuhan pengeluaran sektor pertanian dan perikanan, menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) serta meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi bagi memenuhi permintaan dalam negeri dan bagi keluaran eksport.

Oleh itu, usaha kolektif perlu dicepatkan untuk memastikan sistem makanan yang saksama, mampan dan berdaya tahan untuk sama-sama mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) menjelang tahun 2030.

Sesi webinar itu telah membincangkan mengenai kepentingan pelaburan dalam bidang pertanian dan sistem makanan sebagai kunci untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kemiskinan dan ketidakamanan makanan serta mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya bagi golongan orang muda, wanita dan golongan yang memerlukan.

Dalam konteks pandemik COVID-19 pada masa ini, pelaburan tambahan dalam pertanian adalah diperlukan untuk mengurangkan impak pandemik dan menyokong usaha pemulihan ke arah pencapaian SDG.

Oleh itu, ahli-ahli parlimen memainkan peranan sebagai penasihat dan memegang kedudukan yang strategik bagi tujuan memaklumkan agenda politik dan perundangan dan seterusnya memupuk pelaburan ke arah kemajuan dalam bidang pertanian.

Selain itu, ahli-ahli parlimen juga memainkan peranan penting untuk menggalakkan perubahan dan perkembangan tersebut di peringkat nasional dan serantau melalui penggubalan perundangan dan penggunaan belanjawan dalam memastikan akauntabiliti dan pelaksanaan komitmen yang berkesan.

Sesi webinar itu juga telah memperkenalkan sebuah handbook yang disediakan oleh FAO dan IISD untuk memberikan gambaran keseluruhan yang sistematik serta amalan perundangan yang baik tentang peranan ahli parlimen untuk mencipta persekitaran yang membolehkan pelaburan di dalam pelbagai bidang pertanian dan sistem makanan.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -