Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepentingan sejarah bangsa Brunei

    Oleh Muhammad Hadi Bin Muhammad Melayong, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi, Melayu Islam Beraja (MIB)

     

    SETIAP tahun PenBorneo yang merupakan gedung dan pusat pengkajian dan penyelidikan mengenai Borneo iaitu sebahagian dari cawangan Pusat Sejarah Brunei yang terletak di Blok 31, Bangunan Flat Kerajaan Anggerek Desa telah menganjurkan Program Sesi Ceramah@penBORNEO.

    Matlamat dan tujuan program ini adalah untuk perkongsian maklumat mengenai persejarahan Brunei di samping mempromosikan Pusat Pengkajian Borneo (PenBORNEO) sebagai destinasi pilihan untuk membuat kajian penyelidikan khususnya tentang Borneo.

    Sesi Ceramah@penBORNEO siri ke-6 ini telah diadakan pada hari Isnin, 14 Mei 2016.

    Memandangkan matlamat dan tujuan penubuhan PenBORNEO ini adalah selaras dengan tujuan dan visi Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) maka satu kerjasama khusus mengenai ceramah Sejarah Siri ke-6 dalam lingkungan persejarahan Borneo telah diadakan lanjutan dari siri ceramah yang diadakan sebelumnya.

    Bagi menjayakan program ini, pihak penganjur PenBorneo telah menjemput Setiausaha Kehormat PESEBAR iaitu Profesor Madya Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail, Pensyarah Program Pengajian Sejarah dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, dan Penolong Setiausaha Kehormat PESEBAR, iaitu Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MIB).

    Pembentang kertas kerja bergambar ramai dengan Pemangku Timblan Pusat Sejarah Brunei dan pegawai-pegawai kanan.

    Seminar yang berlangsung setengah hari itu telah dihadiri oleh pegawai-pegawai dan kakitangan dari setiap jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), pegawai dan kakitangan kerajaan dari jabatan atau kementerian lain, guru-guru sejarah, pencinta sejarah, pustakawan, mahasiswa-mahasiswi serta pelajar sekolah.

    Tajuk atau tema utama ceramah pada hari tersebut tertumpu persejarahan Brunei dalam perkaitannya dengan Borneo iaitu lanjutan dari kertas kerja yang telah dibentangkan sebelumnya dalam siri seminar penBorneo yang memfokuskan mengenai seni daya cipta atau kreativiti masyarakat di Pulau Borneo samada dalam bidang kesenian, perusahaan, penciptaan dan lain-lain lagi.

    Pada keseluruhannya, ceramah-ceramah yang telah diadakan bukan sahaja meliputi sejarah kewujudannya tetapi juga secara tidak langsung membincangkan tentang amalan nilai-nilai keBruneian dari aspek ketahanan dan inovasinya seiring dengan zaman moden ini.

    Profesor Madya Dr Haji Awang Asbol dalam ceramahnya bertajuk Syair Rakis dan Kesultanan Brunei Abad Ke-19: Fantasi, Realiti dan Ekonomi, antara lain menjelaskan bagaimana fantasi yang terdapat dalam syair berkenaan, telah menjadi realiti, bukan sahaja pada senario anjung politik Kesultanan Brunei pada abad ke-19, tetapi juga membabitkan secara langsung pada keutuhan ekonomi kesultanan ini.

    Perbincangan ini melihat tentang semangat jati diri kebangsaan keBruneian yang menjadi bentang kepada ketahanan nasional demi kecintaan pada Raja, Ugama dan Bangsa.

    Profesor Madya Dr Haji Awang Asbol dalam kertas kerjanya mengenai Syair Rakis dikarang oleh Pengiran Shah bandar Mohammad Salleh bin Pengiran Sharmayuda pada abad ke-19 memperlihatkan akan hasrat dan niat pengarangnya supaya pihak pemimpin Brunei pada dewasa itu supaya lebih berhati-hati dengan campur tangan kerajaan British yang cuba untuk mengambil kesempatan di atas pergolakan politik dalam negeri untuk kepentingan politik dan ekonominya.

    Kenyataannya bahawa wilayah Kesultanan Brunei semakin mengecil akibat perluasan kuasa James Brooke dan penggantinya setelah dilantik menjadi Gabenor di Sarawak.

    Pada umumnya, kertas kerja Prof. Dr Hasbol membicarakan bagaimana fantasi yang terdapat dalam Syair Rakis ini telah menjadi realiti bukan sahaja kepada senario anjung politik Kesultanan Brunei pada bad ke 19 tetapi juga membabitkan secara langsung kepada keutuhan ekonomi kesultanan ini.

    Dalam fantasi syair terdapat spekulasi-spekulasi tentang masa depan Brunei di samping nasihat dan pandangan kepada pihak berkuasa Brunei dalam melaksanakan pentadbiran negeri.

    Fantasi-fantasi dalam syair ini wujud berikutan hubungan Kesultanan Brunei dengan Inggeris yang semakin rapat kerana berlakunya pemberontakan Sarawak.

    Kesan daripada pemberontakan inilah membawa kepada pelantikan James Brooke sebagai Gabenor Sarawak.

    Akibatnya Brunei telah menjadi negeri yang besar seperti bilik,udang galah jadi cencudik dan harimau garang dapat dimiliki.

    Begitu nasib Brunei dengan bermula pertapakan Inggeris di Sarawak yang menyebabkan hampir keseluruhan empayar Brunei dikuasai Inggeris termasuk Sabah.

    Ini adalah merupakan hambatan dan cabaran yang dihadapi oleh Brunei pada masa lampau untuk menjadi rujukan dan pengajaran kepada kita.

    Semangat kebangsaan yang begitu kuat yang ada pada pengarang Syair Rakis adalah membuktikan bertapa pentingnya pemilikan nilai-nilai MIB yang menjadi benteng dalam mempertahankan ketuanan Bangsa Brunei khususnya bagi generasi pewaris masa akan datang.

    Manakala kertas kerja yang disampaikan oleh Dr Muhammad Hadi Bin Muhammad Melayong yang bertajuk Cabaran-cabaran Ke Arah Pembentukan Negara MIB cuba membincangkan secara umum tentang cabaran-cabaran yang dilalui oleh negara ini dalam mengembalikan kedaulatannya sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja.

    Titik tolak bermulanya cabaran ini adalah dengan kedatangan kuasa-kuasa Barat pada awal kurun ke-16 Masihi (seperti dinyatakan dalam Syair Rakis) sehingga Brunei menjadi Negeri Naungan British berdasarkan Perjanjian Persahabatan 1888 dan Naungan 1905/06.

    Perjuangan untuk mengembalikan kedaulatan Negeri Brunei berterusan selepas Perang Dunia Kedua sehingga akhirnya menempuhi kejayaan pada 1 Januari 1984 dengan pemasyhuran Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka dan berdaulat.

    Maklumat dan idea yang diketengahkan dalam kertas kerja ini adalah berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman penulis iaitu hasil daripada penyelidikan dan pengkajian bahan-bahan sejarah di beberapa buah institusi di luar negara.

    Tujuan mengetengahkan perkara ini adalah untuk perkongsian maklumat dan pengalaman supaya dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan menggalakkan sikap menyelidik serta meneliti bahan-bahan sejarah ke luar negara dalam mengumpul, memelihara dan menyimpan dokumen sejarah yang berkaitan dengan sejarah Negara Melayu Islam Beraja sebagai bahan rujukan dan pembuktian kepada generasi muda masa akan datang.

    Dalam hal ini, beberapa buah dokumen telah diketengahkan bagi memperlihatkan dan membukti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan negara ini dalam usaha mengembalikan statusnya sebagai sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka dan berdaulat.

    Apa yang penting daripada sesi perbincangan ini ialah untuk melahirkan dan menimbulkan semangat minat menyelidik dan mengkaji dokumen-dokumen sejarah negara bukan saja yang tersimpan di institusi dalam negeri bahkan juga di luar negara khususnya di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Secara tidak langsung sikap minat dan suka mengkaji bahan sejarah ini akan menanam semangat patriotik dan kebangsaan yang kental di kalangan masyarakat Brunei yang bersandarkan kepada nilai-nilai MIB.

    Adalah dimaklumi bahawa amanah dan tanggungjawab untuk menanai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya pengamalan nilai-nilai MIB dipraktikkan dan digunakan bukan sahaja sebagai cara hidup masyarakat Brunei bahkan sebagai Dasar Negara, sepertimana dinyatakan dalam Persidangan Khas Menteri-Menteri Kabinet yang berlangsung di Istana Nurul Iman pada 21 Jamadilakhir 1439, bersamaan 7 Februari 2018:

    Akhirnya, kepada semua termasuk pihak perhubungan, pelancongan, belia dan sukan serta luar negeri, luruskanlah tujuan masing-masing. Jangan bengkok-bengkok. Tidak ada gunanya memilih jalan lain dari jalan kita yang sedia ada. Jalan kita ini sudah cukup bagus, kalau ia diikut, InsyaAllah kita selamat. Apakah jalan yang unik lagi hebat itu?  Iaitu M.I.B. M.I.B. adalah pakaian Brunei. Kita memakainya sejak lebih dari enam ratus tahun lagi. Jadi mengapa di dalam zaman yang dinamakan zaman moden ini ia mahu dipertikaikan? Yakinlah barang siapa yang mempertikaikan M.I.B., mereka itu bukan purih Brunei atau tidak berjiwa Brunei.

    Dalam sesi Seminar PenBorneo dalam siri ke-5 sebelumnya memang juga memfokuskan tentang cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Brunei dalam usaha, menegakkan dan mengekalkan amalan nilai-nilai MIB.

    Sebagaimana kertas kerja yang telah disampaikan oleh Dr Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid antara lain telah menyentuh tentang hal-hal makro mengenai latar belakang sejarah, rupa bentuk, pegangan dan jati diri hidup Bangsa Brunei.

    Ini termasuk keterikatan tradisi dan proses kedinamikan yang wujud kesinambungan bersama dasar dan ikrar kebangsaan iaitu sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja (MIB).

    Seterusnya pembentang kedua dalam siri ke-5 iaitu Haji Mohammad Rafee bin Haji Shahif telah membincangkan bagaimana penggunaan Media Sosial Baru seperti YouTube yang begitu terkenal pada masa kini boleh digunakan sebagai sumber utama untuk mengkaji sejarah dengan bercontohkan kepada hubungan Kerajaan Brunei dan Banjar. Pada keseluruhannya, tema utama dalam perbincangan kertas kerja-kertas kerja yang disampaikan adalah mengenai kepentingan sejarah sebagai bahan bukti dan rujukan untuk dijadikan pengajaran dan iktibar dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara ini.

    Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pusat Sejarah Brunei dan Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) dalam sama-sama mengelolakan seminar ilmu yang amat bermanfaat ini bagi sama-sama mendukung titah Baginda Sultan untuk mempertahankan kedaulatan negara dan cara hidup masyarakat Brunei.

    Semoga ceramah ini memberi kesan dan pengajaran kepada kita semua dalam mengekalkan status Negara Melayu Islam Beraja yang merupakan bentang pertahanan untuk melahirkan purih KeBruneian di bumi tercinta ini.

    Dan kita berharap semoga program ceramah dalam bentuk sejarah ini akan berterusan dalam usaha kita bersama untuk memberikan kefahaman kepada semua rakyat dan penduduk negara ini khususnya generasi muda akan kepentingan ilmu sejarah supaya dipelajari dan dikaji sebagai rujukan dalam memartabatkan sejarah Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda