Berikut adalah kertas perdana yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam sempena Simposium ‘Ethnobotani Dalam Al-Quran dan Hadith – Sebuah Penerokaan’ yang diadakan di Universiti Brunei Darussalam pada Hari Sabtu bersamaan dengan 17 Jamadilawal, 1439H/3 Februari 2018M
AMPUN beribu ampun.
Mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Hamba kebawah duli tuan patik dengan penuh hormat serta takzim menjunjung kurnia perkenan untuk hamba kebawah duli tuan patik menunai hajat pihak penganjur bagi membentangkan kertas perdana di majlis ini. Hamba kebawah duli tuan patik juga menjunjung kurnia perkenan untuk menggunakan bahasa biasa sebagai kemudahan jua.
Para hadirin yang dihormati,
Bercakap mengenai tumbuhan-tumbuhan dalam Al-Quran dan hadis adalah satu bidang yang menyeronokkan. Di antara ulama terawal yang memperkatakannya ialah Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitabnya Thibb an-Nabawi. Beliau menyenaraikan tumbuh-tumbuhan dalam Al-Quran sambil menyebutkan khasiat dan kegunaannya. Beliau juga membawakan hadis-hadis yang berkaitan.
Tumbuhan yang disebut oleh Al-Quran dan dibincangkan oleh ulama ialah jenis-jenis kurma seperti balah, busr, ruthab, ‘ajwah dan tamar. Jenis-jenis anggur termasuk zabib (kismis atau anggur kering), bashal (bawang merah), tin, raihan (selasih), zaitun, rumman (delima), zanjabil (halia) dan lain-lain.
Para ulama dan sarjana terus memperluas kajian masing-masing dengan lebih pelbagai, sehingga mencakup semua tumbuhan dalam Al-Quran, termasuk pokok-pokok dan sayur-sayuran serta tumbuhan di syurga dan tumbuhan di neraka. Mereka telah berjaya menyenaraikan sekian banyak tumbuhan dan bahkan berusaha untuk memberikan nama saintifik bagi tiap-tiap tumbuhan tersebut. Namun, ini bukan bermakna, kajian sudah boleh dianggap berakhir. Tidak!

Tumbuhan mempunyai jumlah yang tidak terbatas. Al-Quran cuma menyebut beberapa nama tumbuhan secara khusus. Dan selain itu menyebutnya secara umum melalui perkataan-perkataan seperti ‘syajara’ atau ‘asy-syajara’ atau ‘asy-syajarata’ (pokok) dan ‘nabata’ atau ‘anbatat’ atau ‘anbatna’ (tumbuh). Kedua-dua perkataan ini adalah mewakili segala macam pokok dan tumbuhan itu.
Pokok dan buah rambutan tidak ada dinamakan dalam Al-Quran, tetapi secara umum ia sudah termasuk di bawah kata ‘syajara’ atau ‘asy-syajarata’ tadi. Begitu juga daun ulam raja atau rancah-rancah, ia secara khusus tidak diungkap oleh Al-Quran, tetapi secara umum, sudah masuk di bawah kata ‘nabata’ atau ‘anbatat’ tadi.
Demikian, seluruh pokok dan tumbuhan di alam maya ini, telah pun sedia terungkap dalam Al-Quran. Allah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-An’am ayat 99 yang tafsirnya: “Dan Dialah (Allah) yang menurunkan hujan dari langit. Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuhan, kemudian kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau. Kami keluarkan pula dari tanaman itu buah-buah yang bergugus-gugus, dan dari pohon-pohon tamar, dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik, dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan juga yang tidak bersamaan. Perhatikanlah oleh kamu akan buah-buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang merujuk kepada kekuasaan Kami) bagi mereka yang beriman.”
Ya, kita telah pun demikian mesra dengan kurma, dengan anggur, dengan buah tin, dengan zaitun, dengan delima, dengan bawang, dengan pisang dan dengan halia, yang disebut nama-namanya secara tepat oleh Al-Quran. Kerana itu, orang pun membenar-benarinya mengkaji dan menemukan khasiatnya:
i. Buah Kurma: mengandungi 70 peratus zat gula, 20 peratus protein dan 3 peratus lemak. Buah kurma juga kaya dengan garam mineral, kalsium, zat besi dan potasium, di samping mengandungi sejumlah vitamin B dan C.
ii. Buah Anggur: mengandungi 15 peratus zat gula, sekitar 1.5 peratus protein, 1.5 peratus lemak, dan kaya dengan vitamin B kompleks dan vitamin C.
iii. Buah Tin: mengandungi kadar zat gula yang tinggi, zat besi, mineral, kalsium dan fosfor. Ia juga lengkap dengan beberapa vitamin, seperti vitamin-vitamin A, B, C dan K. Secara medis, buah tin terbukti mampu untuk mengubati sakit perut, sembelit, gangguan haid dan luka-luka.
iv. Buah Zaitun: mengandungi sekitar 67 peratus air, 23 peratus minyak, 5 peratus protein dan 1 peratus mineral. Terdapat setidak-tidaknya empat macam vitamin dalam buah zaitun iaitu vitamin-vitamin A, B, C dan D.
Di era mutakhir ini, terdapat satu kecenderungan yang sangat bagus, di mana masyarakat mula meminati herba, sehingga banyaklah ladang atau taman herba di mana-mana.
Ini cukup wajar, berdasarkan herba juga adalah tumbuhan. Allahlah yang menumbuhkannya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Al-An’am ayat 99 yang tafsirnya: “…dengan air hujan itu, lalu Kami tumbuhkan segala macam tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau.”
Ya, tanaman hijau. Tanaman hijau amat banyak macamnya. Ada yang tegak rendang, ada yang menjalar dan ada juga yang merayap di bumi dengan pelbagai bentuk, rupa, rasa dan namanya. Ini semua adalah kurnia Allah belaka. Kita pula, cuma tahu memanfaatkannya. Lalu kita pun jadikan ia makanan, hiasan dan seumpamanya. Kita amat seronok memakan sayur, ulam dan buah-buahan. Tetapi hanya setakat makan sahaja, tanpa mahu tahu faedah dan khasiatnya. Bahkan ada ketikanya kita memandang remeh kepada sesuatu jenis sayur atau ulam atau buah, semata-mata kerana kita tidak tahu atau tidak menyangka yang benda-benda itu mengandungi khasiat yang hebat.
Kita ambil contoh, siapakah yang mahu peduli dengan daun ulam raja atau rancah-rancah? Satu tumbuhan yang dikatakan berasal dari Amerika Latin tetapi mudah tumbuh di semua kawasan ASEAN.
Siapakah sahaja yang menggemarinya, selain para warga emas di cerok-cerok kampung? Mereka memakannya sebagai ulam yang dicecah dengan budu atau sambal belacan atau cencaluk. Tetapi warga muda kita bagaimana? Siapakah yang berminat dengannya?
Saya pernah didatangi oleh sepasang suami isteri yang berumur dalam lingkungan 20-an ke atas. Saya diberitahu yang si isteri ada mengidap barah payudara peringkat awal.
Selain meminta air betawari, mereka juga bertanya tentang makanan yang bagus dimakan? Maka saya dengan spontan menyebut durian belanda atau durian salat dan bahkan kata saya, daunnya juga boleh direbus dan airnya diminum. Selain itu saya juga menyebut ulam raja, kerana ulam raja sangat berkhasiat, mampu untuk memperbaiki peredaran darah, menyuci bahan toksik dalam darah, menguatkan tulang dan boleh merencatkan aktiviti setengah bakteria termasuk bakteria barah.
Tetapi saya terkejut, apabila pasangan ini tidak kenal ulam raja, sehingga terpaksa pula saya berjanji untuk esok harinya akan membawakan ulam raja dari rumah saya sendiri.
Ini satu contoh kita tidak komited dengan kurnia Allah. Padahal Allah berfirman di dalam Al-Quran Surah An-Nahl ayat 114 yang tafsirnya: “Makanlah oleh kamu apa-apa yang direzekikan oleh Allah kepada kamu dari yang halal lagi baik, dan syukurilah nikmat Allah, jika benar kamu menyembahNya.”
Dari ayat ini, kita diberi isyarat untuk makan apa saja yang halal. Tetapi Allah tidak berhenti setakat menyebut ‘halal’ sahaja, bahkan menambahnya dengan ‘thayyiban’ (halalan thayyiban), makna thayyiban ialah yang baik.
Sila perhati, kalau setakat halal, maka batu dan pasir juga adalah halal, tetapi tidak baik untuk dimakan. Berbanding tumbuhan hijau, selain halal, banyak ya banyak sekali yang baik-baik belaka untuk dimakan.
Nah kalau begitu, memang tidak patutlah jika ada orang yang sampai tidak kenal ulam raja, tidak berminat dengan pegaga, dengan pucuk pawas, pucuk putat, pucuk gajus, daun kesum, daun kemangi, daun tenggek burung dan lain-lain lagi.
Tentang tumbuhan hijau ini, baru-baru ini, saya terjumpa satu tulisan dalam The Daily Telegraph keluarannya 21 Disember 2017 di bawah tajuk ‘How eating salad can improve the memory’ (bagaimana dengan memakan ulam atau salad boleh meningkatkan tahap ingatan?).
Sepuluh tahun lamanya, para pengkaji di sebuah universiti, Rush University Medical Centre di Chicago telah menganalisa hampir seribu orang yang berumur purata 81 tahun. Mereka ini ditanya tentang kekerapan dan berapa banyak mereka makan sayur-sayuran hijau? Kemudian selepas itu, pemikiran dan ingatan mereka diuji.

Hasil kajian, yang diterbitkan kemudian dalam jurnal Neurology mendapati, bahawa mereka yang biasa memakan setengah mangkuk atau makan sayuran hijau pada setiap hari, mempunyai daya ingatan yang kuat, sama dengan orang-orang yang jauh lebih muda, berbanding dengan mereka yang tidak atau hampir tidak memakannya.
Inilah rahsia makanan alami itu. Ia adalah kunci kesihatan sebenar. Dengan mengambil makanan alami atau asli itu, seperti buah-buahan, ulam-ulaman dan sayur-sayuran, pasti saja akan menjadikan darah kita kuat dan bersih. Dan apabila darah kuat dan bersih, maka dapatlah ia berfungsi dengan sempurna untuk mencegah segala macam penyakit. Saya yakin, inilah juga yang menjadi rahsia nenek moyang kita dulu-dulu dapat menikmati kesihatan dan kecergasan yang mengkagumkan, kerana mereka itu lebih banyak makan buah-buahan, ulam-ulam dan sayur-sayuran daripada memakan makanan yang tidak asli, yang terhasil daripada pelbagai perusahaan atau produk.
Di sekitar tahun 2015, satu berita mengagumkan tersiar dalam media, yang kemudian dimuat pula dalam sebuah buku ensiklopedia mengenai khasiat sayur, ulam dan buah-buahan tempatan. Berita itu ialah mengenai seorang tua, warga sebuah negara jiran, berumur 60-an dan mempunyai empat orang isteri. Walaupun sudah tua dan mempunyai empat orang isteri, namun, dia dilihat masih tetap mampu mengekalkan stamina dan susuk badan yang menarik serta kelihatan muda.
Orang bertanya apakah rahsia di sebalik ini semua? Orang tua itu menjelaskan: dia cuma mengamalkan permakanan sihat, terutama memakan “pucuk kesum” dan “pucuk ubi”. Dia juga memberitahu, di tiap-tiap rumah isterinya yang empat itu mesti ada ditanam kesum untuk memudahkannya mendapat kesum sebagai makanan harian.
Dalam makna orang tua ini tidak pernah berenggang dengan daun kesum, sejenis tanaman herba yang mudah tumbuh. Sifatnya menjalar dan boleh tumbuh di dataran yang rendah dengan ketinggian 1.0 meter. Dan boleh mencapai sehingga 1.5 meter di tanah tinggi. Warnanya hijau tua dan sangat aromatik. Daun kesum sudah tidak asing lagi dengan masyarakat Melayu. Ia digunakan dalam masakan rebus atau masakan asam pedas atau dijadikan ulam begitu saja ketika makan nasi, dan dicecah dengan budu atau sambal belacan.
Lalu orang pun terpanggil untuk mengkajinya. Maka banyaklah khasiat yang ditemui, antaranya: dalam 100 gram daun kesum, mengandungi air 73.2 gram; protein 2.8 gram; lemak 0.7 gram, karbohidrat 18.4 gram. Di samping itu, daun kesum juga mengandungi kalsium, fosforus, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2 dan vitamin C.
Demikian kepentingan kajian. Kalau tidak ada kajian, kita hanya makan tanpa mengetahui khasiatnya. Orang yang makan tanpa mengetahui khasiat, mungkin saja dia makan itu kerana kegemaran semata-mata, atau kerana telah terbiasa memakannya.
Jika yang dimakan itu kebetulan memang berkhasiat, maka untunglah dia, dan jika tidak, maka tidaklah. Atau ada makanan mempunyai khasiat tetapi tidak boleh dimakan berlebihan. Jika dimakan berlebihan akan membawa mudharat.
Kita sebutkan contoh di sini, “daun sambung nyawa” atau dipanggil juga “daun dewa”. Daun ini mudah tumbuh, sedikit berlendir dan rasanya tidak pahit. Orang memberitahu, ia sangat berkesan untuk mengubat penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Di dalam satu majlis perkahwinan, sekumpulan orang berbual-bual mengenai “daun sambung nyawa” ini.
Masing-masing turut berkongsi maklumat atau pengalaman mengenainya. Daun ini sedap untuk dibuat ulam, dan lebih menyelerakan lagi jika dicecah dengan sambal belacan. Ia juga sangat menarik perhatian kerana khasiatnya boleh mengubat penyakit darah tinggi dan kencing manis. Tetapi di luar dugaan, seorang bergelar Dato tiba-tiba mencelah berkata: “Inilah daun yang membunuh isteri saya”.
Semua mata memandang ke arah Dato. Saya pula menyampuk bertanya: “Bagaimana boleh begitu, Dato?”
Dato menjelaskan: “Isteri saya adalah penghidap darah tinggi. Orang menasihatinya supaya makan “daun sambung nyawa”. Dia pun makan: makan pada tiap-tiap hari dalam bentuk jus. “Daun sambung nyawa” dibuat jus. Tetapi setelah berhari-hari meminumnya, isteri saya tiba-tiba mengalami masalah darah rendah. Tekanan darahnya turun merudum sehingga tidak dapat diselamatkan lagi. Itulah yang berlaku kepada isteri saya, setelah, pada setiap hari dia minum jus “Daun sambung nyawa”.
“Daun sambung nyawa” ini, turut boleh didapati di taman herba UBD. Kita tidaklah menyarankannya supaya dibuang atau diambili, tidak! Tetapi kita menyarankannya supaya ia dikaji. Kaji ia sedetailnya: apa kandungannya, apa khasiatnya dan bagaimana cara menggunakannya? Bolehkah ia dimakan dengan kadar yang banyak ataupun tidak? Jika tidak, berapakah saja yang dibolehkan itu?
Pada hemat kita, kalau kajian seperti ini dibuat, maka tragedi yang menimpa isteri Dato sehingga mengalami turun darah yang membahayakan nyawa itu mungkin saja boleh dielakkan. Dan inilah gunanya kajian ilmiah dilakukan untuk kita memperolehi panduan yang betul.
Mengenai isu membuat jus “daun sambung nyawa” dan meminumnya pada setiap hari, tidak boleh dipandang ringan begitu saja, kerana di sana sudah ada dakwaan, bahawa ia membahayakan nyawa.
Namun pendapat awal kita, ia bukanlah salah “daun sambung nyawa”, tetapi yang salah itu adalah pengguna yang menggunakannya sesuka hati tanpa berpandu kepada sebarang panduan ilmiah yang terhasil dari kajian.
Kita boleh bayangkan, minum jus “daun sambung nyawa” pada setiap hari. Berapa banyak helai daun untuk membuat jus itu? Mungkin saja segenggam atau dua genggam. Katakan, segenggam ada 10 helai, kalau dua genggam bererti 20 helai. Sedangkan yang pernah didengar, jangan makan daun ini lebih dari tiga helai pada sekali makan. Tetapi peminum jus telah mengambil 10 atau 20 helai untuk sekali minum.
Nah, tidakkah ini menguatkan lagi alasan untuk kita mesti mengkajinya? “Daun sambung nyawa” belumlah tentu ia tidak bagus, apatah lagi untuk menganggapnya sebagai pembunuh. Tetapi kitalah yang mungkin salah, kerana lambat atau tidak melakukan kajian terperinci mengenainya.
Ya, adalah tidak pelik kalau “daun sambung nyawa” memang betul ubat. Tetapi ubat juga perlu dilimit. Bukankah bagi ubat itu terdapat istilah “dos”? Kita tidak dianjurkan untuk mengambil ubat secara berlebihan atau overdose. Jika kita lakukan juga boleh membawa mudharat? Bukankah begitu?
Nah kalau begitu, demikian itulah juga halnya dengan pemakanan biasa. Adalah tidak diragukan, banyak tumbuhan, khasnya jenis tumbuhan herba mengandungi khasiat. Tetapi khasiat apa? Macam-macam khasiat. Ada khasiat menambahkan tenaga, ada khasiat melancarkan darah, ada khasiat melawan kanser, ada khasiat melambatkan proses penuaan (awet muda) dan macam-macam lagi. Tetapi setakat mengetahui ini sahaja belumlah memadai.
Malah kita juga mesti tahu, misalnya: bagaimanakah cara menggunakan atau memakannya? Bolehkah ia dimakan mentah atau mesti dimasak? Bolehkah kita mengambil atau memakannya dalam kadar yang banyak ataupun tidak? Dan lain-lain lagi.
Ini semua adalah penting, untuk mengelakkan bahaya salah makan.
Tetapi dengan apakah cara untuk memperolehi panduan atau formulasi itu di sini? Tentu sahaja dengan kajian. Ya, perlu dikaji. Pegaga dikaji, ulam raja dikaji, mengkudu dikaji, kemangi dikaji, pucuk pawas dikaji, daun sambung nyawa dikaji.
Kita telah difahamkan, bahawa Taman Herba UBD sekarang sudah dapat mengumpul sekitar 290 jenis herba. Tahniah. Tetapi ini, baru langkah mengumpul, suatu perkara biasa, kerana siapa pun boleh mengumpul. Saya sendiri berminat mengumpul dan bertanam herba dan Bangunan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang sedang disiapkan, juga mempunyai taman herbanya. Tetapi cabaran besar di sini ialah, kita perlu mengkaji setiap herba yang ada itu.
Maka dalam konteks ini, tujuh tahun yang lalu, tahun 2011 di Majlis Konvokesyen Ke-23 Universiti Brunei Darussalam, raja kita, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah telah membuat satu kejutan apabila Baginda berkenan bertitah, antara lain:
“Beta amat teringin untuk melihat, walau sekecil mana sekalipun, hasil kajian atau ciptaan oleh UBD, tidak kira ia datang daripada pensyarah ataupun penuntut, atau daripada mana-mana jua pihak di dalam kerajaan.”
“Beta sebutkan satu contoh kecil di sini, siapakah dalam negara ini yang telah pernah membuat satu kajian tentang herba-herbaan? Mana kajian kita terhadap ulam pegaga? Terhadap pucuk pawas dan bunga kunyit? Siapakah setakat ini yang pernah mengkajinya?…sampai sekarang, siapakah orang kita yang sudah melakukan kajian saintifik tentang kandungan dan khasiat benda-benda ini?”
Kemudian Baginda seterusnya menambah titah:
“Ini baru satu contoh kecil sahaja, tetapi cabarannya cukup besar untuk kita. Khusus bagi UBD, cabaran itu mahu tidak mahu turut melibatkan tenaga-tenaga akademik selaku penggerak dan pembimbing ke arah aktiviti-aktiviti penyelidikan.” Demikian titah.
(Rujuk: Kumpulan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 2011, terbitan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam, hlm 81.)
Ya, tujuh tahun lamanya cabaran itu sudah lahir, namun kita, hingga kini, belum lagi mendengar satu berita gembira tentang herba pegaga, pucuk pawas dan bunga kunyit telah selesai dikaji, dengan hasil kajian itu dapat ditatap atau dibaca. Kita bercakap ini tidaklah menyentuh kajian oleh mana-mana pihak luar sana, tetapi kita bercakap adalah kepada diri sendiri, tentang kajian oleh kita sendiri, oleh institusi pengajian tinggi atau lain-lain pihak yang berkaitan dalam negara. Adakah kita sudah menanganinya?
Jika sudah Alhamdulillah, dan tidak habis setakat itu sahaja, malah kini, cabaran baru muncul pula, iaitu bukan lagi setakat tiga jenis herba: pegaga, pucuk pawas dan bunga kunyit sahaja, malahan dalam Taman Herba UBD sekarang sedang menunggu 290 spesis herba untuk dikaji.
Ampun beribu ampun, sekian saja, dijunjung banyak-banyak keampunan dan kemaafan sekiranya terdapat sebarang kekhilafan atau sorok langkah di sepanjang pembentangan ini.
Wallahu waliyyut Taufiq, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.