Oleh Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong
Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja
SEJARAH adalah penting dalam proses pembinaan dan pembangunan negara bangsa. Justeru itu, setiap masyarakat perlu mengekalkan dan memelihara warisan sejarah negaranya sebagai identiti dan jatidiri bangsa bagi memastikan kesinambungan, ketamadunan bangsa dan negara itu. Selain daripada itu nilai-nilai yang terdapat dalam warisan sejarah ini juga sebagai asas perpaduan dan penyatuan hidup berbangsa dan bermasyarakat tanpa mengira keturunan, agama dan latarbelakang budaya yang berlainan.
Perkara ini telah menjadi tajuk perbincangan dalam Persidangan Antarabangsa Kedua (ICDETAH 2017) yang berlangsung di Hotel Permai Inn, Terangganu, Malaysia selama dua hari pada 19-21 Mac 2017. Seminar anjuran Kerajaan Negeri Terangganu dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Fakulti Sains Kemasyarakatan itu adalah sempena dengan Tahun Melawat Terangganu 2017.
Sebanyak 90 kertas kerja dari pelbagai bidang telah dibentangkan dalam persidangan tersebut yang melibatkan 100 orang pembentang dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Korea Selatan, Australia, Negara Brunei Darussalam. Perwakilan dari Negara Brunei Darussalam adalah terdiri dari penulis sendiri dan wakil persendirian, Haji Zulkifli bin Haji Abdul Latif yang membentangkan kertas kerja bertajuk : Ristaan Sejarah Brunei : Satu Ristaan. Manakala penulis menfokuskan tentang Sejarah dan Warisan Bangsa Brunei yang berkisar mengenai falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Dalam era globalisasi isu mengenai falsafah negara begitu menarik dibincangkan dalam seminar dua hari ini selaras dengan hambatan kemajuan teknologi media baru pada dewasa ini. Pada realitinya kebanyakan negara di dunia menyedari akan kepentingan nilai-nilai warisan dan sejarah sebagai sumber pertahanan dalam menghadapi idea-idea atau pemikiran baru yang begitu tersebar meluas melalui media baru. Perkara ini merupakan satu cabaran kepada golongan belia remaja daripada mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang bertentangan dengan pegangan beragama dan berbudaya terutama dalam pembicaraan tentang idea kebaratan mengenai ketuhanan.
Sehubungan dengan itu pembentangan nilai-nilai MIB dari sudut warisan dan sejarah telah mendapat tarikan dan pandangan yang positif dari kalangan perserta persidangan dalam menanai dan juga menghadapi perkembangan ideologi pemikiran barat dalam dunia globalisasai masa kini. Dan adalah diakui bahawa penerapan dan penyaluran nilai-nilai positif mengenai warisan ini amat berkesan dilakukan melalui sistem pendidikan negara dengan pelbagai metodologi dan pendekatan yang bersesuaian dengan selera dan kemahuan generasi muda belia masa kini.

Dalam hal ini penulis menjelaskan bahawa amalan nilai-nilai yang terdapat dalam falsafah MIB di Negara Brunei Darussalam adalah satu yang ideal dan memang telah diterima oleh rakyat dan penduduk berdasarkan kepada sejarah, adat istiadat, agama Islam dan Perlembangaan Negara. Di antara persoalan yang diketengahkan oleh perserta kepada pembentangan kertas kerja ialah bagaimanakah caranya untuk menolak dan menghalang daripada berlakunya pengamalan-pengamalan tradisi yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti kepercayaan tahyul dan karut serta amalan perjudian yang menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat masa kini.
Bagi Negara Brunei Darussalam, Islam merupakan agama rasmi dan diletakkan di posisi yang paling tinggi sekali dalam falsafah negara. Ianya adalah sebagai sandaran dalam menentukan setiap pengamalan nilai-nilai yang terdapat dalam falsafah Negara. Oleh itu, setiap pengamalan dan kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam adalah dilarang dan diharamkan termasuklah mengenai amalan bersabung dan berjudi yang juga melanggar undang-undang negara.
Dalam pembentangan tersebut penulis telah membincangkan tiga perkara penting mengenai isu warisan dan sejarah Bangsa Brunei. Pertama mengenai latar belakang sejarahnya, kedua penyebaran dan pengukuhannya dan ketiga mengenai kepentingan warisan dan sejarah kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Dari prespektif sejarah penulis menjelaskan bahawa warisan dan sejarah Bangsa Brunei merupakan sumber penting sebagai bukti dan rujukan mengenai kewujudan ketamadunan Bangsa Brunei yang diwarisi sejak lebih 600 tahun yang lalu. Memandangkan ianya adalah asas perpaduan dan penyatuan bangsa Brunei maka nilai-nilai yang terdapat dalam warisan ini perlu disemai dan diajar kepada generasi muda kini dan akan datang, supaya warisan tradisi ini tidak lagi dipersoalkan dan disembaranakan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama amat penting dalam kehidupan era globalisasai masa kini supaya tidak berlakunya pertelingkahan dan perbalahan yang membawa kepada ketidak stabilan politik, ekonomi dan sosial.
Dalam hal ini, bagi Negara Brunei Darussalam nilai-nilai yang terdapat dalam warisan sejarah MIB adalah merupakan inti utama yang menjadi dasar serta polisi kerajaan bagi mewujudkan kemakmuran dan kedamaian dalam kehidupan bermasyarakat. Semuanya ini berdasarkan kepada fakta sejarah yang menjadi sandaran untuk asas perpaduan.
Kedua dari segi penyebaran dan pengukuhannya adalah bertitik tolak dari pemasyhuran kemerdekaan negara pada 33 tahun yang lalu di mana MIB telah dilegitamasikan untuk dikekalkan selama-lamanya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Sebagaimana titah pemasyhuran Baginda Sultan pada 1hb Januari 1984:
“…Negara Brunei Darussalam adalah dan dengan izin serta limpah kurnia Allah subhanahu wa taala untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik. Bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah wal-Jama’ah dan dengan berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan dengan petunjuk serta keredhaan Allah subhanahu wa taala jua akan sentiasa berusaha pada memperolehi ketenteraman dan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan bagi rakyat Beta. Demikian juga pemeliharaan perhubungan persahabatan di kalangan antarabangsa atas dasar saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan wilayah bagi semua negara yang bebas daripada campur tangan luar negeri”.
Inilah warisan dan sejarah Negara Brunei Darussalam yang masih kekal diamalkan dan dihayati oleh setiap rakyat dan penduduk negara Brunei Darussalam bagi memastikan pengekalan status Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka dan berdaulat. Lantaran itu berdasarkan rentetan sejarah yang dilalui oleh Negara Brunei Darussalam sejak dari kewujudannya pada pertengahan abad ke 14 Masihi telah meyakinkan rakyat dan penduduk Brunei untuk terus memelihara nilai-nilai tradisi ini dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Kenyataannya, sistem beraja yang berteraskan kepada Islam dan berbudaya Melayu ini telah melahirkan kehidupan yang aman makmur dan sejahtera sehingga ke hari ini. Kita telah dapat menempah nama melalui pengisytiharan Negara Brunei Darussalam yang berkonsepkan MIB sebagai cara hidup Bangsa Brunei. Meskipun, dunia ragu-ragu dan tidak yakin akan kewujudan kita pada 33 tahun yang lalu namun terbukti bahawa masyarakat Brunei mampu dan berjaya membina negara ini sama seperti negara-negara lain di dunia iaitu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.
Pencapaian ini adalah berkat daripada kepercayaan dan keyakinan kepada rangkaian kehidupan bersandar nilai-nilai MIB dalam hubungan di antara raja dan rakyat yang amat kukuh dan padu berasaskan kepada sejarah dan warisan. Sebagai pencinta keamanan dan kesejahteraan manusia sejagat, nilai-nilai yang terkandung di dalam MIB itu padu, kukuh, dan mampu menangani pelbagai permasalahan dalam pembangunan, perpaduan, dan integrasi kebangsaan. Falsafah MIB adalah identiti bagi rakyat dan Negara Brunei Darussalam yang telah wujud berabad lamanya yang mementingkan kepada asas-asas keadilan, keharmonian, kesejahteraan, kebahagiaan, kemakmuran dan keamanan.
Ketiga kepentingan nilai warisan sejarah ini terbukti berdasarkan kewujudan kemakmuran dan kesejahteraan masayarakat Brunei yang telah dinikmati hampir satu abad di bawah kepimpinan Baginda Sultan hasil daripada pengamalan nilai-nilai MIB dalam pengurusan dan pentadbiran negara.
Dalam era globaliasai masa kini rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam menyedari pada hakikatnya bahawa nilai-nilai MIB itu adalah merupakan benteng pertahanan yang perlu diamalkan dalam menghadapi arus kemodenan yang tanpa sempadan. Adalah diharapkan agar generasi muda masa kini dan masa akan datang akan terus mempertahankan warisan sejarah ini untuk dijadikan ristaan dan rujukan sebagai satu sandaran dalam penegakan kedaulatan Negara Brunei Darussalam.
Alhamdulillah pengetengahan kertas kerja dalam persidangan ini telah dapat memberi kefahaman serta pengetahuan kepada masyarakat luar mengenai sosio-budaya dan pollitik Negara Brunei Darussalam khususnya dalam usaha untuk memberi gambaran yang sebenar mengenai kehidupan bermasyarakat dan bernegara di bumi Brunei Darussalam.
Pada kenyataan, adalah diakui bahawa di kalangan peserta seminar dari masyarakat luar ada di antaranya yang tidak mengetahui lansung tentang persejarahan Negara Brunei Darussalam yang menyebabkan mereka mempercayai dan menerima bulat-bulat mengenai berita dan maklumat-maklumat yang disebarkan melalui media baru.
Melalui penyertaan ini sekurang-kurangnya kita dapat mencerahkan dan memperbetulkan kenyataan sejarah yang sebenarnya kepada masyarakat luar disamping berkongsi ilmu pengetahuan dan mengukuhkan hubungan kerjasama dan silaturahim di peringat serantau dan antarabangsa.