Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Dengan membawa tema, Membina Kepercayaan dan Membolehkan Inovasi bagi Masa Depan Digital Mampan, Persidangan dan Pameran Masa Depan Digital (DFCE) 2025 meneroka pelbagai topik berpandangan ke hadapan termasuk perlindungan data peribadi, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan keselamatan atas talian serta tumpuan utama kepada memastikan transformasi digital yang meningkat tetapi bukannya menjejaskan kepercayaan orang ramai.
Kira-kira 500 peserta menyertai persidangan dan pameran yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) bersempena Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei 2025 (Brunei MYCE 2025), yang berlangsung di Dewan Munawwarah, Setia Point, hari ini.
Hadir untuk menyampaikan ucaptama dan menyempurnakan perasmian DFCE 2025 ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Nazri bin Haji Muhammad Yusof; timba-lan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; perwakilan-perwakilan asing, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta pihak berkepentingan utama mewakili pelbagai industri.
Dalam kata alu-aluannya, Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar menyatakan tema DFCE 2025 mencerminkan cabaran utama dan peluang dalam landskap digital kini.
– GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
Beliau turut menyatakan persidangan dan pameran selama dua hari itu, menumpukan kepada topik-topik utama seperti AI, perlindungan data peribadi, IoT dan keselamatan atas talian, menggariskan keperluan mendesak untuk memupuk inovasi sambil memastikan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab serta beretika.
Beliau turut merakamkan harapan semua peserta akan memanfaatkan sepenuhnya acara berkenaan untuk membina rangkaian bermakna di serata kerajaan, industri, akademia dan masyarakat awam di mana kolaborasi sedemikian adalah amat penting dalam memacu inovasi yang inklusif, beretika dan mampan, memastikan perkembangan digital bermanfaat untuk semua.
Pada majlis tersebut, Ketua AI, Pakar Penyelesaian Global, Dell Technologies, Mei May Soo menyampaikan pembentangan bertajuk, AI with Purpose: Building a Trusted and Inclusive Digital Future.
Beliau seterusnya menyertai panel perbicangan yang bertajuk Striking the Balance: Innovation, Regulation and Building Public Trust yang turut mengemukakan ahli-ahli panel iaitu Timbalan Pengarah, Future of Privacy Forum Asia Pacific, Dominic Paulger dan Ketua Hal Ehwal Kerajaan ASEAN, Microsoft, Maciej Surowiec dengan moderator, Pengarah Urusan Confer Sdn Bhd, Allen Lai.
Bersempena dengan DFCE 2025, sebuah persidangan tertutup, ASEAN Conference on Cloud Adoption for the Public Sector, turut diadakan yang menghimpunkan wakil-wakil dari negara-negara anggota ASEAN.
Dalam acara selari, empat buah bengkel serentak juga akan dikendalikan, menawarkan peluang pembelajaran amali dalam bidang-bidang kritikal seperti pengurusan pelanggaran data dan pembangunan rangka kerja sekuriti menggunakan platform seperti Microsoft 365.
Sementara itu, DFCE 2025 turut mengadakan sebuah pameran yang mengetengahkan penyelesaian inovatif dan inisiatif utama diterajui agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta seperti Makmal Inovasi Brunei, United National Networks Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd, Comquest Sdn Bhd, Integrated Communications Sdn Bhd dan Futurestore Company.
Sementara itu, Dataworks Sdn Bhd dan Drew and Napier LLC mengetengahkan latihan dan konsultasi mengenai perlindungan data peribadi dan sekuriti siber manakala Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) mempromosikan sektor-sektor utama daripada Pelan Induk Ekonomi Brunei termasuk sokongan ICT bagi PMKS menerusi Darussalam Enterprise (DARe).
Kesedaran keselamatan atas talian juga diketengahkan dengan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) mengongsi mengenai kajian kes dan trend terkini berhubung penipuan atas talian dan jenayah siber.
Dengan Negara Brunei Darussalam meneruskan perjalanan transformasi digitalnya, DFCE 2025 terus menjadi platform kritikal bagi mengumpulkan penggubal dasar, pengawal selia, pemimpin industri, ahli teknologi dan masyarakat awam bagi dialog bermakna, pembentangan mendalam, perbincangan terajui pakar serta kolaborasi.