Sunday, January 19, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keperluan penggunaan telur dalam negara diutamakan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Walaupun negara mengeksport telur ayam ke luar negara, namun keperluan penggunaan dalam negara masih menjadi keutamaan.
     
    Pemantauan terhadap sekuriti telur ayam sentiasa dilaksanakan setiap bulan dan jika didapati adanya keperluan dan kekurangan telur ayam di dalam negara, pengeksportannya akan diberhentikan bagi memberikan keutamaan kepada keperluan negara.
     
    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menekankan perkara itu semasa memberi penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Alluddin pada hari ketujuh Persidangan MMN ke-20, di Bangunan Dewan Majlis hari ini. Beliau turut menegaskan bahawa pengeksportan telur ayam adalah terkawal, diteliti dan dianalisis setiap tiga bulan bagi memastikan ia mencukupi ataupun tidak.
     
    Menurutnya, pada tahun lalu pernah berlaku kekurangan telur di negara jiran dan ini telah menyebabkan berlakunya penyeludupan telur ayam ke negara jiran.
     
    “Melihat perkara itu, KSSUP telah mengambil langkah memberhentikan pengeksportan telur ayam ke Singapura dan menumpukan bekalan kepada permintaan yang mendadak,” jelasnya. Beliau seterusnya menambah, pengeluaran telah melebihi sara diri dan mana-mana kekurangan akan dilencongkan di mana kita tidak perlu lagi menunggu import telur seperti sebelumnya di mana pengimportan telur ayam akan dibuat apabila menjelang musim Hari Raya.
     
    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda