Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keperluan piawaian alat kawalan dalam e-sukan mudah alih

    Oleh Daryl Baxter – 

    E-sukan mudah alih ialah pasaran yang semakin berkembang dan mula mendapat perhatian daripada lebih banyak pembangun.

    Permainan seperti VALORANT Mobile dan Destiny: Rising bakal dilancarkan untuk iPhone dan peranti Android dalam bentuk ujian beta.

    Khabar angin juga menyebut lebih banyak permainan mudah alih berasaskan francais popular akan hadir.

    Namun, satu aspek yang membezakan kategori ini daripada e-sukan tradisional ialah kaedah pemain mengawal permainan.

    Dalam permainan seperti Counter-Strike 2 atau Tekken 8, penggunaan papan kekunci, tetikus dan alat kawalan permainan adalah perkara biasa.

    Bolehkah piawaian alat kawalan membantu menjadikan e-sukan mudah alih lebih adil untuk semua pihak yang terlibat? – Foto Daryl Baxter

    Malah, ada yang ditaja oleh jenama seperti Razer atau Turtle Beach. Tetapi ini jarang berlaku dalam e-sukan mudah alih.

    Oleh itu, sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan senarai piawaian alat kawalan yang diluluskan khas untuk e-sukan mudah alih.

    Ini bukan sahaja dapat memastikan keadilan untuk semua peserta pertandingan, malah membantu pembangun permainan menyokong alat kawalan yang betul.

    Di bawah ini, kami perincikan keadaan semasa dan apa yang boleh dilakukan untuk membentuk peraturan tetap bagi menjadikan e-sukan mudah alih lebih adil dan saksama untuk semua pihak.

    ALAT KAWALAN DALAM E-SUKAN MUDAH ALIH

    Pada masa ini, tiada piawaian alat kawalan yang ditetapkan dalam e-sukan mudah alih.

    Permainan seperti Fortnite dan PUBG Mobile menawarkan kawalan sentuhan serta keserasian dengan alat kawalan pihak ketiga.

    Namun, oleh kerana terlalu banyak periferal yang tersedia untuk telefon pintar dan tablet, tiada senarai tetap mengenai alat kawalan yang dibenarkan digunakan.

    Pengeluar seperti Backbone, GameSir, Razer dan lain-lain menawarkan pelbagai jenis alat kawalan—ada yang disambungkan ke iPhone dan iPad melalui USB-C, ada pula yang menggunakan sambungan Bluetooth.

    Setiap alat kawalan menawarkan reka bentuk ergonomik dan bahan binaan yang berbeza, menjadikannya unik serta menarik untuk pemain e-sukan mudah alih yang berbeza.

    Reka bentuk mereka juga biasanya meniru susun atur tradisional alat kawalan Nintendo, Sony dan Microsoft.

    Namun, pemilihan alat kawalan masih bergantung kepada cita rasa individu peserta. Tambahan pula, aspek kebolehcapaian (accessibility) turut menjadi isu.

    Walaupun Sony dan Microsoft telah memperkenalkan alat kawalan mesra OKU, penganjur e-sukan masih belum menggalakkan penggunaannya dalam e-sukan mudah alih. Akibatnya, pemain berkeperluan khas masih terpinggir.

    Kesimpulannya, kita kini berada dalam situasi yang berpecah-belah, di mana keadilan dan keterangkuman masih belum terjamin dalam penggunaan alat kawalan untuk e-sukan mudah alih.

    KENAPA PERLU ADA PIAWAIAN?

    Piawaian alat kawalan bukan sahaja perlu malah sudah agak terlewat untuk diperkenalkan.

    Dalam dunia peranti mudah alih, kita kini berada dalam fasa stagnasi. Setiap keluaran iPhone yang baharu semakin sukar dibezakan dan pembelian tahunan semakin sukar untuk dibenarkan oleh pengguna.

    Dalam dunia Android pula, sistem operasi mudah alih Google dilesenkan kepada banyak pengeluar seperti Galaxy, OnePlus, Honor dan lain-lain. Reka bentuk, antara muka pengguna dan perkakasan seperti cip dan kamera semakin baik, tetapi kaedah bermain permainan masih sama.

    Bermain Fortnite di Samsung Galaxy S9 atau S25 mungkin berbeza dari segi grafik, tetapi kaedah kawalannya sama awda tetap perlukan alat kawalan walaupun pilihan kawalan sentuhan disediakan.

    Dalam konteks e-sukan yang kompetitif, membenarkan mana-mana pemain membawa alat kawalan sendiri ke pertandingan adalah bermasalah.

    Bayangkan jika dalam Piala Dunia bola sepak, setiap pasukan dibenarkan memilih bola sendiri—ini tentu tidak adil. Sebaliknya, FIFA menetapkan satu jenis bola standard agar setiap perlawanan adil.

    Malah, di kejohanan seperti EVO, peraturan menyatakan, “Pemain bertanggungjawab menyediakan alat kawalan, batang arked atau alat input lain yang sah untuk digunakan dalam kejohanan.”

    Piawaian alat kawalan untuk e-sukan mudah alih boleh menyamaratakan peluang. Pemain akan tahu alat kawalan apa yang akan digunakan sama ada dibekalkan atau dibawa sendiri tetapi tertakluk kepada pemeriksaan bagi memastikan tiada pengubahsuaian yang tidak sah.

    Lebih penting lagi, langkah ini boleh meningkatkan kebolehcapaian. Pemain kurang upaya tidak akan dipinggirkan kerana peralatan khas mereka turut tersenarai.

    Mereka boleh menyertai kejohanan dan bermain seperti pemain lain, contohnya bermain Fortnite di iPad dengan bantuan alat kawalan yang disesuaikan.

    Akhirnya, penerapan piawaian boleh mengubah e-sukan mudah alih daripada kategori yang tidak stabil kepada platform matang, di mana kemahiran sebenar menentukan kemenangan dalam suasana yang adil dan menyeronokkan.

    PETA JALAN KE ARAH PIAWAIAN

    Untuk merealisasikan piawaian alat kawalan dalam e-sukan mudah alih, kerjasama menyeluruh dalam industri diperlukan termasuk pihak penganjur, pembangun permainan dan pengeluar alat kawalan. Semua pihak mesti mencapai kata sepakat.

    Tiga peringkat penting ialah:

    1. Penubuhan konsortium

    Penganjur e-sukan dan syarikat periferal bersetuju dengan terma asas bagi penggunaan alat kawalan.

    2. Penetapan asas dan senarai jenis alat kawalan

    Satu senarai alat kawalan mengikut genre permainan ditetapkan bersama kriteria yang perlu dipenuhi agar alat kawalan dianggap sah, seperti yang diamalkan dalam permainan seperti Street Fighter 6 atau League of Legends.

    3. Pelaksanaan penuh selepas tiga tahun

    Selepas persetujuan meluas dicapai, piawaian dikuatkuasakan dalam setiap kejohanan e-sukan.

    Jika tidak dipatuhi, pemain atau penganjur boleh dikenakan bayaran untuk penggunaan alat kawalan yang tidak disahkan.

    Walaupun nampak mudah di atas kertas, langkah-langkah ini memerlukan perbincangan mendalam dan persetujuan dari banyak pihak.

    Mendapatkan maklum balas daripada pemain dan penonton e-sukan mudah alih juga penting dalam proses ini mereka mempunyai pengalaman paling luas dan boleh membantu membentuk masa depan kategori ini.

    Setelah dilaksanakan, rangka kerja ini akan memberikan platform saksama kepada semua pemain, tidak kira baharu atau berpengalaman.

    Piawaian alat kawalan boleh menjadi tunjang untuk masa depan e-sukan mudah alih, sambil memastikan keterangkuman dan keadilan berpanjangan.

    PENUTUP

    Piawaian alat kawalan boleh menjadi detik penting dalam evolusi e-sukan mudah alih, tetapi bukan tanpa cabaran.

    Dengan lambakan pengeluar alat kawalan di seluruh dunia, sukar untuk menyenarai pendek produk yang sesuai bagi setiap genre permainan.

    Namun, memandangkan e-sukan mudah alih masih dalam peringkat awal, inilah masa terbaik untuk menetapkan peraturan asas bukan menunggu hingga industri ini terlalu besar dan sukar dikawal.

    Dengan kemunculan peranti lipat dan boleh pakai, lebih penting untuk menentukan sekarang apakah jenis alat kawalan yang dibenarkan.

    Dengan ini, medan pertandingan akan kekal adil dan semua peserta tahu dengan jelas alat kawalan apa yang boleh atau tidak boleh digunakan dalam perlawanan kompetitif, sama ada pada iPhone atau peranti Android.

    SOALAN LAZIM

    Apakah alat kawalan terbaik untuk e-sukan mudah alih? Backbone Pro dan Razer Kishi Pro adalah antara pilihan terbaik untuk iPhone, iPad dan peranti Android.

    Bolehkah Switch 2 digunakan untuk permainan e-sukan mudah alih? Tidak, kerana ia diklasifikasikan sebagai konsol kerana permainan seperti Super Smash Bros dan F-Zero tersedia di Switch 2 dan versi sebelumnya. – Agensi

    RINGKASAN

    • Buat masa ini, tiada piawaian alat kawalan permainan untuk e-sukan mudah alih.
    • Masa kini amat sesuai untuk memperkenalkannya, memandangkan khabar angin tentang kemasukan francais permainan besar ke dalam pasaran mudah alih.
    • Piawaian ini akan menjadikan pertandingan lebih adil dan membantu pembangun mengenal pasti alat kawalan yang perlu disokong.
    • Ketika ini, landskap alat kawalan dalam e-sukan mudah alih masih berpecah-belah, tanpa jaminan keadilan dan keterangkuman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda