Kepimpinan ke arah pengukuhan keimanan dan ketakwaan

Oleh Dr.Muhammad Hadi Muhammad Melayong

Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja

 

PADA 15 Julai 2017, genaplah 71 tahun sudah usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sebagai rakyat dan penduduk yang bernaung dibawah pemerintahan Baginda, kita mengucapkan syukur pada Allah Subhanahu Wata’ala kerana telah di kurniakan seorang raja yang telah dapat memimpin negara ini hampir 50 tahun.

Sebagai tanda kesyukuran di atas kesejahteraan dan kemakmuran yang dinikmati hampir setengah abad maka adalah lebih afdal Sambutan Hari Keputeraan Baginda yang ke-71 tahun ini diraikan dengan acara-acara dalam bentuk keagamaan dan sosiobudaya yang berlandaskan kepada cara hidup Melayu Islam Beraja bagi mengukuhkan ketakwaan dan keimanan pada Allah S.W.T khususnya dalam mengeratkan dan mengukuhkan hubungan silaturahim antara rakyat dengan pemimpin.

Dalam kita sama-sama meraikan hari keputeraan Baginda, dua konsep penting yang perlu dimiliki oleh setiap rakyat pada penduduk Negara Brunei Darussalam iaitu ketaatan dan kesyukuran. Dengan lain perkataan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Baginda Sultan yang kita raikan setiap tahun adalah bersandarkan kepada nilai-nilai MIB sebagai tanda ketaatan dan kesyukuran atas kepimpinan Baginda Sultan sebagai Ulil Amri di Negara Brunei Darussalam. Konsep ketaatan ini dalam konteks MIB dapat dikaitkan sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Al-Quran, Surah Al-Nisaa Ayat 59 yang maksudnya:

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan Ulil Amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

Dengan lain perkataan meraikan Hari Keputeraan Baginda Sultan adalah sebagai tanda ketaatan kita kepada pemimpin di samping mensyukuri nikmat dan rahmat Allah S.W.T yang telah dilimpahkan kepada bumi Brunei Darussalam sepanjang Baginda bertakhta di atas singgahsana kerajaan. Semangat ketaatan rakyat ini adalah berdasarkan kepada nilai-nilai yang terdapat dalam MIB yang berteraskan Islam.

Pada 15 Julai 2017, genaplah 71 tahun sudah usia Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Pada 15 Julai 2017, genaplah 71 tahun sudah usia Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

MIB LOGO 2016 MFC

Malahan berdasarkan Adat Istiadat Diraja setiap rakyat dan penduduk yang menjadi warga Negara Brunei Darussalam berkewajipan untuk mentaati perintah raja sebagaimana yang pernah diikrarkan 50 tahun yang lalu apabila Baginda Sultan dimasyhurkan menjadi Sultan Brunei yang ke-29.

Perkara ini telah dilafazkan oleh Yang Amat Mulia Pemangku Menteri Besar Pengiran Dato Paduka Haji Mohammad Yusuf bin Pengiran Haji Abdul Rahim antara lain berbunyi:

Selaku ketua pentadbiran di-Negeri Brunei, dalam suasana yang bersejarah ini, patek ingin merafa’kan sembah ta’at setia patek yang tidak pernah meleleh sa-titik pun kapada Duli Tuan Patek saperti yang pernah patek2 sakalian sembahkan kapada Paduka Ayahanda Tuan Patek.

Ada-lah menjadi niat suchi lagi murni patek2 sakalian untok menyumbangkan segala tenaga dan untok memberi segala perkhidmatan dan pengorbanan kepada Duli Tuan Patek dalam menjalankan peranan Duli Tuan Patek sa-bagai sa-orang Sultan yang ‘adil lagi bijaksana.

Manakala konsep kesyukuran rakyat pula dilihat melalui rasa kasih dan sayang rakyat yang sentiasa mentaati kepimpinan Baginda Sultan yang menyebabkan kewujudan keamanan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam. Sebagai ketua agama Islam dan menjadi Ulil-Amri kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, maka amanah dan tanggungjawab yang Baginda pikul amatlah berat dalam memedulikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Misalnya dari segi agama Islam selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Agama Islam, perkembangan dakwah Islam di bumi Brunei Darussalam adalah menjadi keutamaan bagi meningkat dan mengukuhkan syariat Islam melalui perlaksanaan undang-undang Islam.

Kenyataannya, sebagai contoh jumlah orang bukan Islam sama ada rakyat Baginda Sultan sendiri atau masyarakat luar yang memeluk agama Islam di negara ini adalah amat menggalakkan dari setahun ke setahun. Sesiapa sahaja yang memeluk agama Islam adalah atas kerelaannya sendiri tanpa paksaan.

Ini adalah kerana wujudnya sikap pemedulian dan keprihatinan kerajaan Baginda dalam mengelinga hal-hal kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya golongan saudara-saudara baru. Ini adalah rahmat dan nikmat yang patut syukuri di bawah naungan pemerintahan Baginda. Semakin kita bersyukur maka Allah SWT akan melipatgandakan lagi nikmatNya kepada bumi Brunei Darussalam.

Konsep kesyukuran juga boleh kita kaitkan melalui amalan bersedekah yang memang digalakkan oleh Islam dalam semua aspek kehidupan. Sebagai contohnya perkara ini yang pernah disentuh oleh Baginda Sultan melalui penubuhan Tabung Dana Masjid sebagai pelaburan akhirat. Sebagaimana titah Baginda:

Bersesuaian dengan ajaran ini dan juga mengambil sukut baik di saat yang penuh berkat, maka Beta dengan amat sukacita memaklumkan di sini, bahawa Beta telah pun memperkenankan Penubuhan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid dengan mengikut kaedah dan peraturan yang diperuntukkan mengenainya.

Tabung Dana ini akan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala kerana membina masjid.  Ia akan berlaku secara konsisten sebagai satu peluang keemasan bagi orang-orang Islam untuk bertanam saham di akhirat.  Saham itu sifatnya unik sehingga tidak terjangkau oleh akal, manakala Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:  “Barangsiapa membina masjid kerana Allah, sekalipun hanya seperti sarang burung, maka Allah akan membina untuknya rumah di dalam syurga.”

Inilah janji Allah Subhanahu Wata’ala kepada orang-orang yang membina masjid, dan adapun Tabung Dana yang ada ini, Insya Allah akan memungkinkan kita orang-orang Islam di negara ini untuk berkongsi harapan bagi memperolehi janji tersebut.

Adalah Beta difahamkan, semua kutipan yang terkumpul akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membina masjid baru, termasuk seperti memperbaiki masjid yang sedia ada dan sebagainya.  Namun dalam pada itu, tanggungjawab kerajaan dalam perkara membina dan mengurus masjid, adalah tetap berjalan sebagaimana biasa.

Sebagai tanda ketaatan perintah Allah Subhanahu Wata’ala dan saranan Ulil-Amri maka tanda kesyukuran kita sepatutnya dilakukan dengan memperbanyakkan amalan bersedekah yang merupakan satu amalan sunat yang sangat dituntut oleh Islam. Bersedekah ini boleh dianalogikan seperti kita mengambil air dari perigi atau telaga dengan menggunakan timba, setiap kali kita mengambil air dari perigi tersebut maka akan digantikan dengan air lain pula tanpa berkurang sedikit pun. Kita harus faham bahawa rezeki yang Allah Subhanahu Wata’ala berikan kepada kita bukanlah untuk kita seorang sahaja. Sebenarnya kita diamanahkan oleh Allah Subahanahu Wata’ala untuk menjaga dan mengagihkan rezeki tersebut untuk insan lain juga. Sebagaimana firman Alllah S.W.T dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah, Ayat 195 yang maksudnya:

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Oleh kerana amalan bersedekah itu adalah tanda kesyukuran kita pada Allah Subhanahu Wata’ala sebagaimana yang telah anjurkan oleh raja dalam meningkat keimanan dan ketakwaan pada Allah S.W.T. Kenyataannya dasar-dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Baginda Sultan sepanjang 50 tahun di atas singghsana adalah selaras dengan ikrar pertama Baginda ketika menaiki tahta pada 5hb Oktober 1967 yang antara lain berbunyi Dan mudah2an dengan idzin Allah Beta juga senantiasa menjaga dan memelihara dengan tidak kendor2-nya laila usaha mengenai Ugama Islam.

Malahan kelahiran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah padaa tahun 1992 iaitu sempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 tahun menaiki takhta adalah bertujuan bagi meningkat ketakwaan dan keimanan pada Allah Subhanahu Wata’ala dalam mengambil perhatian berat terhadap kebajikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Alhamdullilah, Yayasan Sultan Haji Hassanal adalah modal yang baik yang merupakan satu-satu badan Islam yang sama-sama mendukung kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini dalam membantu Baginda melaksanakan amanahnya sebagai Ulil-Amri di bumi Brunei Darussalam.

Sebagai contoh satu lagi projek penting yang dilakukan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah secara berterusan ialah amalan jariah dalam membentuk tabiat bersedekah ialah memberi bantuan barang keperluan dan peralatan untuk kesempurnaan mengerjakan ibadah. Ini dilakukan setiap tahun apabila musim haji, di mana Baginda Sultan secara peribadi juga mengurniakan pakaian ihram dan telekung dikhususkan kepada semua bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam.

Pada dasarnya semua ini dilakukan secara ikhlas kerana ketakwaan kepada Allah Subhanahu Watala dalam sama-sama mendapatkan pahala daripada perbuatan mengerjakan haji yang mana merupakan salah satu kewajipan yang dilakukan setiap umat Islam yang berkemampuan.

Oleh itu, kita amat bersyukur di atas kepimpinan Baginda yang sentiasa mempedulikan dan mengelinga kebajikan rakyat demi melaksanakan amanah untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan pada Allah Subahanahu Wata’ala Dalam hal ini, Baginda pernah bertitah Sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-65 tahun pada 13 Sya’ban, 1432 / 15hb Julai, 2011 antara lain:

Sementara itu, pendekatan pembangunan kita akan diteruskan dengan amalan hidup bermuafakat dan sihat, ta’at berugama dan setia kepada raja berlandaskan MIB atau Melayu Islam Beraja.

Sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang bernaung di bawah panji-panji pemerintahan Baginda adalah menjadi kewajipan kita untuk mengukuhkan semangat ketaatan kepada kepemimpinan baginda dan mensyukuri di atas rahmat dan nikmat yang dilimpahi oleh Allah Subhanahu Wata’ala di bumi Brunei Darussalam. Semoga segala amal jariah yang dilakukan ini mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah Subhnahu WaTala jua. Aamiin.