Saturday, January 25, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepimpinan Maqasid Syariah acuan pembangunan negara

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 15 OGOS – Dalam usaha mempertingkatkan lagi rasa syukur, taat setia dan kasih sayang yang mendalam terhadap raja yang sangat dicintai, Jabatan Penerangan meneruskan lagi Program Semarak Jabatan Penerangan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 bagi Daerah Tutong, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara yang berlangsung di Dewan Utama Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong itu ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw yang dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini, selaku pengerusi program tersebut.

    Salah satu pengisian program ialah ceramah bertajuk ‘Maqasid Al-Syariah dalam Kepimpinan’ yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

    Beliau antara lain menyentuh mengenai pemikir Islam sejak ratusan tahun lalu telah membincangkan dan mempraktikkan matlamat pembangunan mampan dengan cara mengekalkan kualiti hidup manusia melalui pemeliharaan dan pengukuhan Maqasid Al-Syariah yang meliputi lima komponen utama iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

    Beliau turut menjelaskan corak kepimpinan yang menghayati konsep Maqasid Al-Syariah sebagai acuan pembangunan di negara ini antaranya pengharaman premis judi, ternakan khinzir atau binatang yang haram dan arak, penubuhan institusi kewangan dan universiti Islam, penguatkuasaan Perintah Tembakau, Perintah Pendidikan Ugama Wajib, Kanun Jenayah Syari’ah, aturan penutupan sementara premis perniagaan semasa solat Fardu Jumaat dan penaiktarafan Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal.

    Negara Brunei Darussalam telah menjadi salah sebuah negara Islam yang sangat disegani dan menjadi buah mulut (contoh) di seluruh dunia.

    Beliau juga menyentuh mengenai usaha pemimpin hari ini dan masa hadapan untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 dan agenda pembangunan mampan serta memelihara nikmat keamanan, kedamaian, kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan didasari dan dibatasi oleh konsep Maqasid Al-Syariah kerana ia merupakan tunjang penting sebuah negara bercirikan ‘Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur’.

    Tetamu kehormat turut berkesempatan menyaksikan Pameran Mini Fotografi.

    Profesor Madya Dr Abdul Nasir telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Maqasid al-Syari’ah dalam Kepimpinan’ sebagai salah satu perisian program tersebut. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo semasa menghadiri Program Semarak bagi Daerah Tutong. – Gambar serahan Jabatan Penerangan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda