Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Pengenalpastian dan intervensi awal untuk pelajar terutamanya mereka yang mempunyai Keperluan Pendidikan Khas (KPK) dan pelajar terpinggir adalah penting untuk memastikan setiap kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam menerima peluang yang saksama untuk belajar dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 untuk membangunkan insan yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Perkara itu antara yang ditekankan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman dalam ucapannya pada Simposium Pemimpin Sekolah 2025 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.
Beliau menyatakan bahawa simposium yang membawa sub tema, Early Intervention For Students With SEN – Ensuring Holistic Growth Through Proactive Support, mengingatkan kita bahawa intervensi awal bukanlah langkah pemulihan tetapi reka bentuk proaktif untuk ekuiti.
“Ukuran sebenar kepimpinan terletak pada keupayaan kita untuk menjangka dan bukannya bertindak balas,” jelasnya.
Beliau turut menekankan, keterangkuman sebenar bukanlah mengenai peraturan dan dasar tetapi ia bermula dengan kesedaran, empati dan tindakan awal dalam setiap komuniti sekolah.
Dengan mengesan kesukaran pembelajaran dan cabaran perkembangan lebih awal dan dengan mendasarkan keputusan kita pada data yang boleh dipercayai, jelas Awang Aliuddin lagi, kita dapat menyediakan sokongan yang disasarkan yang menghalang cabaran-cabaran berkenaan daripada meningkat atau menjadi serius atau teruk.
“Data membolehkan kita melihat melangkaui andaian, ia membantu kita mengenal pasti corak, menjejaki kemajuan dan membuat keputusan termaklum yang menyokong perkembangan setiap pelajar,” tambahnya.


