Thursday, May 8, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepimpinan telus, pemeduli diperlukan

    Oleh Syahmi Hassan & Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Bahyiah Bakir & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Dalam sesebuah pentadbiran, kepimpinan para pegawai yang berdedikasi, berfikiran bernas dan berpandangan jauh adalah sangat diperlukan kerana pendidikan sifatnya bukan beku tetapi dinamik.

    Namun, jika kepimpinan mudah bersikap jemu dan lebih menggemari pentadbiran bersantai, maka pendidikan akan menjadi lemah.

    Sebab itulah dalam menjalankan urus tadbir pendidikan sangat diperlukan orang-orang yang mempunyai peribadi yang baik dan aktif menggalas semua jenis kerja yang ditugaskan termasuk jika ada keperluan, akan turun padang menemui anak buah.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa mengurniakan titah dalam lawatan tidak berjadual ke Bangunan Baharu Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga maklum mengenai usaha yang dilakukan oleh pihak atasan kementerian yang melawat dan melihat-lihat keadaan sekolah-sekolah di seluruh negara termasuk mengadakan sesi dialog secara bersemuka dengan para pemimpin sekolah.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat bagi lawatan tidak berjadual ke Kementerian Pendidikan.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah semasa lawatan tidak berjadual ke Kementerian Pendidikan, kelmarin.
    Warga Kementerian Pendidikan mendengar titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.

    “Cara ini memang bagus tetapi ada kalanya tidak disukai oleh sesetengah pegawai dan kakitangan kerana pihak atasan itu sering menegur secara terbuka. Namun sebilangan yang lain pula mengambil positif teguran-teguran tersebut dengan menganggapnya sebagai mampu untuk membuka minda memperbaiki keadaan,” titah Baginda.

    Baginda juga mengetahui banyak lawatan seperti itu dilakukan secara tertutup tanpa liputan media massa yang mana ia juga boleh dilihat sebagai bagus kerana dengan serba-serbi ada liputan mungkin sahaja tujuannya untuk menunjuk-nunjuk sekalipun yang dilaporkan itu hanya perkara yang kurang atau tidak penting.

    “Beta selamanya menghargai kepimpinan yang telus dan sikap pemedulian yang tinggi.

    Sebarang isu yang berbangkit memang wajar dilihat dengan teliti untuk mendapatkan fakta yang betul bagi menyokong mana-mana jua keputusan yang akan diambil. Jadi janganlah rimas kalau ada ketua yang bersikap seperti itu,” titah Baginda lagi.

    Baginda juga menegaskan perkara sebaliknya yang patut dielakkan ialah jika pegawai atasan itu hanya pandai menekan para pegawai bawahan bagi memenuhi kehendak atau kemahuannya atau dengan cara yang licik menanam pengaruhnya kepada para pegawai melalui amalan-amalan kronisme kerana dengan etika yang buruk sedemikian, pelbagai perkara boleh berlaku.

    Contohnya jika ketua mewakilkan seseorang untuk menghadiri satu-satu mesyuarat atau sesi lawatan kerja, tetapi pegawai yang diwakilkan itu gagal untuk memberikan maklum balas kepada ketua tentang apa-apa yang berbangkit daripada mesyuarat atau lawatan yang dihadiri.

    “Jika ini benar berlaku bererti satu penggelapan telah dibuat yang menyalahi disiplin kerja berpasukan atau pemesongan membelakangi ketua. Jika cara ini menjadi tradisi, nescaya kepincangan-kepincangan yang tidak diingini akan melanda kementerian seperti jentera pentadbiran akan boleh saja terganggu atau tidak lancar dan seumpamanya.

    “Sedangkan di sana terdapat banyak isu yang perlu dilihat secara bersama-sama untuk dikaji dan ditangani, antaranya dalam perkara setakat manakah sudah perancangan-perancangan Kementerian Pendidikan untuk mencapai wawasan negara 2035, mengenai Sistem Pendidikan Negara (SPN) apakah sudah ada sebarang rancangan atau pemikiran untuk mengkaji semua dan memperbaikinya berdasarkan sistem ini merupakan duplikasi sistem pendidikan orang lain,” tekan Baginda.

    Baginda juga menekankan bahawa di bawah sistem yang ada itu boleh dianggap ada berlaku kepincangan dengan penuntut-penuntut hanya perlu mencapai peratus kedatangan untuk naik kelas walaupun markah peperiksaan sangat rendah atau gagal.

    Semasa ekspo pengajian tinggi sekitar awal bulan Februari 2020, ada didapati daripada kalangan penuntut yang masih lemah atau tidak lancar membaca dan bahkan tidak faham mengenai mata pelajaran yang pernah diajarkan.

    Kepincangan lain juga berlaku iaitu seperti memberikan pengecualian pada mana-mana pihak untuk tidak mengikut atau memakai sistem itu sedang di dalam sekolah atau pusat pengajian berkenaan juga ada anak tempatan Brunei yang belajar.

    “Selain itu, sejauh manakah juga didapati sistem ini mampu untuk me-nerapkan sivik dan etika MIBnya dalam kalangan penuntut sekolah rendah dan menengah? Adakah mata-mata pelajaran MIB masa ini sudah mencukupi untuk memberikan kesedaran sivik, tidak diragukan lagi perkara ini juga memerlukan kajian,” tegas Baginda.

    Menyentuh mengenai Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP), Baginda bertitah menyatakan bahawa terdapat laporan pada Julai 2018 mengenai perubahan tempoh pembayaran balik SBPP.

    “Sebelum ini pembayaran balik skim hanya akan dibuat setelah menerima mula bekerja, tetapi pada ketika ini Kementerian Pendidikan dikatakan telah mengeluarkan arahan baharu untuk menerima skim dikehendaki membayar semula pinjaman bermula bagi tarikh menerima sijil ijazah dengan dikenakan juga faedah sebanyak 3 peratus. Beta mahu supaya peraturan ini juga diteliti lagi dengan lebih mendalam.”

    Ada juga sikap pilih kasih atau unsur kronisme telah dan sedang berlaku dalam pemilihan penjawat bagi jawatan-jawatan kanan di dalam kementerian. Jika benar ini berlaku, sayugia ianya mesti dihentikan.

    Mengenai projek International School Leaders (ISL), Baginda menasihatkan bahawa ada baiknya ia ditinjau kerana terdapatnya khabar sekolah-sekolah yang dipimpin oleh ISL seperti Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Masin dan Sekolah Rendah Pusar Ulak belum dapat dibanggakan pencapaiannya sekalipun pemimpin yang dianggap mempunyai kepakaran sering-sering memberikan tekanan berlebihan kepada guru-guru tempatan dengan projek-projek baharu.

    “Beta berpendapat segala jenis projek sama ada lama ataupun baharu, semua itu mustahak untuk dikenal pasti adakah ia menepati nilai-nilai etika dan semangat MIB,” tekan Baginda Sultan.

    Menurut Baginda, isu sekolah memang mencabar, kerana itu ia perlu diberikan penumpuan istimewa. Unit Pendidikan Khas (UPK) dikatakan tidak mampu untuk menangani keramaian murid-murid yang saban tahun meningkat atau bertambah, sehingga ada terdapat sebilangan murid dimasukkan atau diserap ke dalam kelas-kelas biasa sekolah-sekolah di Daerah Tutong kerana pusat pembelajaran khas telah penuh sedang sekolah-sekolah rendah yang berkenaan itu juga tidak mempunyai guru-guru pendidikan khas yang sekali gus menyukarkan bagi guru-guru biasa untuk mengajar murid-murid berkeperluan khas bahkan jumlah guru-guru di bawah UPK sendiri juga kurang sehingga tidak dapat menampung keramaian murid-murid. Jika perkara itu benar, Baginda menasihatkan agar akan adanya tindakan cepat menanganinya.

    Baginda turut mengongsikan terdapat beberapa program pendidikan yang memerlukan perhatian dan pemantauan kerana beberapa daripadanya didapati mengalami kepincangannya seperti Program MiSC Learning Lab; Program Whole School ICT Development (WSID); Program Model School; Program PEAKS ICT Certifications; Program Guru-guru Perkhidmatan CfBT (Centre for British Teachers).

    Selain itu, menurut Baginda, terdapat beberapa projek dan program bagi meningkatkan mutu pembelajaran dan pentadbirannya telah diperkenalkan oleh kementerian, antaranya projek Sistem Maklumat Pendidikan Bersepadu Kebangsaan (iNEIS), Literacy Numeracy Coaching Programme (LMCP) dan Penilaian Berasaskan Sekolah (SBA).

    Sehubungan itu, Baginda bertitah mempersoalkan jika projek dan program berkenaan memberi impak yang positif atau hanya menambah lagi beban tugas para guru atau pengajar dengan yang demikian perkara tersebut juga perlu dikaji.

    Di penghujung titah, Baginda Sultan menyentuh mengenai perkara dasar dan sistem serta lainnya yang berasaskan umur kemerdekaan Negara Brunei Darussalam telah pun memasuki ambang dewasanya.

    “Dan yang demikian juga pusat pengajian kita, UBD, pada khusus sudah hampir menyamai umur kemerdekaan. Maka apakah belum lagi masanya untuknya berdikari menguruskan dirinya sendiri mentadbir hal ehwal pendidikan tanpa turut bergantung kepada mana-mana pihak dari luar Brunei,” titah Baginda lagi.

    Terdahulu, Baginda mengongsikan yang Kementerian Pendidikan merupakan salah sebuah kementerian terbesar dalam kerajaan Brunei Darussalam di mana visi dan misinya tertumpu kepada untuk memberikan pendidikan yang berkualiti yang mampu untuk merealisasikan aspirasi negara mencapai wawasan 2035.

    Oleh yang demikian, ia diperuntukkan dengan sejumlah lebih daripada $753 juta bagi tahun kewangan 2020-2021, meningkat daripada peruntukan tahun-tahun kewangan yang sudah-sudah.

    Baginda bertitah bahawa Kementerian Pendidikan telah menggariskan tiga objektif iaitu untuk mengubah pengurusan tenaga manusia ke arah budaya yang lebih menjurus kepada pencapaian budaya dipacu prestasi, memberikan peluang yang sama rata bagi mendapatkan pendidikan berkualiti, dan meningkatkan akauntabiliti bersama-sama dengan stakeholders dalam perkembangan pengajaran dan pembelajaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda