Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepincangan khidmat Duck Boat undang pelbagai risiko

    BOSTON – Keunikan dan keupayaan kenderaan ‘Duck Boat’ untuk bergerak di atas tanah dan air menjadikannya satu daripada tarikan pelancong di Amerika Syarikat (AS).

    Namun penggunaan kenderaan itu kini menghadapi kontroversi berikutan daripada kejadian-kejadian kemalangan yang menyebabkan kecederaan teruk dan korban jiwa. Industri kenderaan itu kini dipaksa untuk meningkatkan kadar keselamatannya. Beberapa pihak juga mahu penggunaan kenderaan itu ditegah sama sekali.

    Di Seattle, syarikat kenderaan itu memberhentikan separuh daripada perkhidmatan Duck Boat selepas lima orang pelajar kolej terbunuh dalam satu kemalangan perlanggaran dengan sebuah bas pada tahun 2015. Manakala di Philadelphia, operator Duck Boat memberhentikan lawatan pelancongan menggunakan kenderaan itu buat selama-lamanya berikutan kematian tiga orang dalam dua perlanggaran berasingan. Di Boston pula, langkah-langkah keselamatan baru akan mula berkuatkuasa pada bulan April ini setelah sebuah Duck Boat melanggar seorang perempuan berusia 28 tahun yang menyebabkan kematian pada musim bunga lepas.

    Penduduk Boston sangat meminati Duck Boat. Duck Boat merupakan elemen utama dalam perarakan meraikan kejohanan sukan. Awal bulan ini, 24 buah Duck Boat membawa New England Patriots melintasi jalan Boston untuk meraikan kemenangan pasukan Super Bowl.

    Namun, kini Duck Boat kurang diminati di Boston dan di beberapa lagi tempat lain akibat kemalangan melibatkan kenderaan itu yang telah menyebabkan kecederaan parah atau kematian.

    Keadaan Bas pelancongan Ride the Ducks (kanan) selepas perlanggaran dengan bas charter di Aurora Bridge, Seattle yang mengakibatkan kematian. – AP
    Keadaan Bas pelancongan Ride the Ducks (kanan) selepas perlanggaran dengan bas charter di Aurora Bridge, Seattle yang mengakibatkan kematian. – AP

    “Kami percaya, dengan reka bentuk terbaru, penggunaan Bot Duck harus diharamkan,” kata Ivan Warmuth, ayah kepada Allison Warmuth yang telah terkorban pada 30 April 2016 akibat dilanggar oleh Duck Boat semasa dia sedang memandu motosikalnya.

    Duck Boat dulunya digunakan oleh tentera AS dalam Perang Dunia II sebagai pengangkutan tentera dan untuk menghantar bekalan ke darat dan laut. Ia terkenal semasa era penjajahan Normandy pada tahun 1944. Kemudian, ia telah diubahsuai untuk dijadikan sebagai kenderaan pelancongan. Sekarang, lebih kurang 130 Duck Boat beroperasi di lebih 12 buah bandar di AS termasuk Boston, Seattle, Miami, San Diego, Honolulu dan Washington.

    Para pengkritik mengatakan kenderaan darat dan laut yang seberat 2½ tan itu memang berbahaya. Ini adalah disebabkan oleh reka bentuknya yang memberikan banyak titik buta (blind spot) untuk pemandunya yang duduk 10 ke 12 kaki dari luan bot. Ini menyebabkan pemandu bot mengalami kesukaran untuk melihat di bawah dan di hadapan mereka.

    Ibu bapa Allison Warmuth telah mendesak industri tersebut untuk menerapkan langkah-langkah keselamatan baru. Mereka telah berjaya mendesak industri untuk menerapkan undang-undang Massachusetts yang mengarahkan semua Duck Boat untuk menggunakan kamera dan menggunakan pengesan jarak. Undang-undang baru itu juga mengarahkan Duck Boat itu dikendalikan oleh dua orang pekerja: seorang pemandu Duck Boat dan seorang bertugas sebagai pemandu pelancong.

    Kevin Moniri yang juga berada di atas motosikal bersama Warmuth ketika kemalangan tersebut mengimbas kembali kenangan pahit itu. Dia nampak sebuah Duck Boat yang memecut laju di belakang mereka apabila lampu isyarat bertukar hijau. Dia kemudian menyedari yang pemandu Duck Boat itu tidak nampak mereka. Rakaman video yang diperiksa oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan menunjukkan pemandu Duck Boat itu mengalihkan perhatiannya dari jalan saat dia menunjukkan mercu tanda kepada pelancong.

    “Saya sering kali mendengar syarikat Boston Duck Tours dan syarikat-syarikat lain menjanjikan keselamatan adalah keutamaan mereka. Jika benar, mereka tidak sepatutnya membenarkan pemandu Duck Boat menjadi pemandu pelancong pada masa yang sama,” kata Moniri.

    Sepuluh minggu selepas Warmuth terbunuh, seorang wanita New Jersey telah dilanggar oleh Duck Boat dan mengalami kecederaan parah.

    Ketua Pegawai Eksekutif Boston Duck Tours, Cindy Brown memberitahu bahawa mereka memberikan keutamaan kepada keselamatan penumpang dan memberitahu bahawa mereka akan menggunakan kamera tambahan, mengupah seorang lagi pekerja untuk menjadi pemandu pelancong dan menggunakan pengesan jarak tambahan.

    Reka bentuk Bot Duck memberikan banyak blind spot untuk pemandunya yang duduk 10 ke 12 kaki dari luan bot yang menyebabkan pemandu bot mengalami kesukaran untuk melihat di bawah dan di hadapan mereka. – AP
    Reka bentuk Bot Duck memberikan banyak blind spot untuk pemandunya yang duduk 10 ke 12 kaki dari luan bot yang menyebabkan pemandu bot mengalami kesukaran untuk melihat di bawah dan di hadapan mereka. – AP
    Penggunaan Bot Duck kini menghadapi kontroversi berikutan kejadian-kejadian kemalangan yang menyebabkan kecederaan teruk dan kematian. – AP
    Penggunaan Bot Duck kini menghadapi kontroversi berikutan kejadian-kejadian kemalangan yang menyebabkan kecederaan teruk dan kematian. – AP

    Penyokong keselamatan telah cuba mencari penyelesaian untuk meningkatkan keselamatan sejak tahun 1999, setelah 13 orang terbunuh apabila sebuah Duck Boat tenggelam berhampiran Hot Springs, Arkansas.

    Sejak tujuh tahun lalu, beberapa kejadian kemalangan telah meragut beberapa nyawa. Ini termasuk perlanggaran yang melibatkan bot tunda yang merempuh Duck Boat yang sedang berlabuh.

    Perlanggaran ini mengorbankan dua orang pelancong warga Hungary. Perlanggaran pada tahun 2015 mengakibatkan seorang wanita Texas terkorban dan satu lagi perlanggaran di Seattle pada tahun yang sama.

    Pentadbiran Keselamatan Lebuhraya Pengangkutan Kebangsaan (NHTSA) memberitahu bahawa gandar hadapan Duck Boat sebelum perlanggaran di Seattle telah rosak yang menyebabkan pemandu hilang kawalan. Pengeluar telah bersetuju untuk membayar sehingga AS$1 juta selepas NHTSA memberitahu bahawa perkara itu melanggar undang-undang federal apabila pengeluar gagal untuk memberitahu regulator mengenai kerosakan pada bahagian gandarnya dan tidak melakukan pemeriksaan penuh.

    Operator pelancongan Duck Boat Philadelphia memberhentikan operasinya untuk selama-lamanya dan menyatakan kenaikan premium insuransnya sebanyak 330 peratus.

    Para pengkritik mengatakan bahawa sebahagian daripada masalahnya adalah perbezaan yang terdapat pada langkah-langkah keselamatan pelbagai agensi yang mengawal Bot Duck, termasuk Pengawal Pantai AS, NHTSA, negeri dan bandar.

    Syarikat Ride the Ducks di Seattle telah berhenti menggunakan model kenderaan Duck Boat “stretch ducks” dan sekarang hanya menggunakan model baru “truck ducks”, kata jurucakap Mark Firmani. Syarikat itu juga menambah kamera 365 darjah dan menambah seorang lagi pekerja sebagai pemandu pelancong, katanya.

    Ibu kepada Stacey Soto, 63 tahun, maut pada tahun 2003 akibat terjatuh ke belakang Bot Duck ke tempat letak kereta di Boston. Soto berkata, meskipun keluarganya merupakan peminat Patriots, mereka tidak dapat meraikan kemenangan pasukan tersebut.

    “Tidak ada seorang pun dari kami yang sanggup menyaksikan perarakan Duck Boat,” katanya. “Ia sangat menyakitkan.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda