Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepingan robot bantu letak kereta secara automatik

    SEOUL, 11 JUN – Syarikat gergasi pengeluar kereta Korea Selatan, Hyundai telah membangunkan robot yang boleh meletak kereta lebih baik daripada mana-mana perkhidmatan valet oleh manusia.

    Banyak syarikat kereta telah membuat pelaburan membangunkan sistem meletak kereta automatik termaju dalam kereta untuk membantu pemandu kereta untuk meletak kereta secara selari atau mengundur ke ruang yang sempit, menurut laporan Oddity Central.

    Tetapi bagaimana jika terdapat cara untuk meletakkan kereta awda secara automatik tanpa perlu menghidupkan enjin? Syarikat pembuat kereta Korea Selatan, Hyundai telah membangunkan robot yang meletak kereta senipis papan lapis yang boleh meluncur di bawah hampir semua jenis kereta dan kemudian mengangkat dan meletakkannya dengan sempurna di dalam petak letak kereta yang ditetapkan.

    Dilancarkan tahun lepas, sistem dengan nama WIA terdiri daripada dua kepingan besi rata tidak lebih tinggi daripada 110 mm yang kelihatan seperti papan lapis dilengkapi roda-roda kecil yang akan meluncur ke bawah kenderaan.

    WIA yang terdiri daripada dua kepingan besi rata untuk meletak kereta secara automatik. – Oddity Central

    Setelah berada di bawah kenderaan, sepasang lengan besi akan keluar dari setiap kepingan robot dan mengepit keempat-empat roda serentak sehingga kenderaan terangkat.

    Selepas itu, kedua-dua robot bergerak secara serentak unutk mengangkat kereta dan meletakkannya di tempat letak kereta, dengan cara yang cermat dan teratur lebih baik daripada mana-mana manusia boleh lakukan.

    Robot-robot tersebut dilengkapi dengan kamera dan sistem LiDAR (teknologi penderia jarak jauh yang menggunakan cahaya laser untuk mengukur jarak antara objek dan permukaan) dan boleh bergerak selaju 1.2 meter sesaat, bekerja serentak untuk melaksanakan kerja meletak kereta.

    Dalam demonstrasi asalnya, pemaju Korea Selatan tersebut turut menggunakan kod QR menjadikan kerja robot lebih mudah, membantu mereka memadankan setiap kereta dengan petak yang ditetapkan.

    Semua di atas: Tangkap layar daripada video menunjukkan bagaimana dua kepingan robot dengan dua lengan dilengkapi tayar kecil mampu mengangkat dan membawa kereta ke petak letak kenderaan. – Agensi

    Dalam masa kurang daripada setahun sejak pelancaran sistem WIA tersebut, Hyundai telah pun menggunakan sistem tersebut di bangunan pejabat Seongsunya di Seoul dan Pusat Inovasi di Singapura. Sistem berkenaan dilaporkan boleh mengendalikan sehingga 50 robot secara serentak.

    Menariknya, terdapat sistem lain yang sangat serupa dengannya telah dipamerkan oleh syarikat China iaitu Shenzhen Shanyi Technologies. Tetapi robot tersebut digunakan untuk mengangkat kenderaan yang diletakkan secara haram dengan cepat untuk mengosongkan jalan dengan lebih berkesan daripada trak tunda. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda