UDON THANI, 7 DIS – Sepasang suami isteri warga Thailand telah dialu-alukan pulang kelmarin oleh puluhan orang yang mengucapkan tahniah untuk menaikkan semangat mereka selepas menjadi tebusan selama berminggu-minggu oleh pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.
Tetapi kepulangan Boonthom Pankhong dan Natthawaree Mulkan, yang pernah bekerja di Israel, dibayangi oleh kebimbangan bahawa mereka mungkin tidak dapat membayar hutang mereka yang semakin meningkat – melainkan mereka bekerja di luar negara semula.
Pasangan itu adalah antara sekurang-kurangnya 32 warga Thailand yang diculik oleh pejuang Hamas apabila mereka menyerang Israel pada 7 Oktober dalam serangan yang mengorbankan 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pihak berkuasa Israel, dan menyaksikan kira-kira 240 tebusan diambil.
Kira-kira 50 orang, termasuk pegawai tempatan, berkumpul kelmarin untuk upacara tradisional Bai Sri Su Kwan di rumah pasangan itu di sebuah kampung kecil di Udon Thani, di timur laut negara itu.
Pergelangan tangan mereka yang kembali itu diikat dengan tali putih untuk membawa tuah dan memulihkan kesihatan mereka.- AFP


