Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepulauan Virgin AS akan bina terumbu tiruan

    SAN JUAN, 12 JAN – Kepulauan Virgin, Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi akan membina terumbu tiruan pertamanya untuk melindungi pantainya dan membantu wilayah AS menjadi lebih berdaya tahan menghadapi ribut pada masa depan, kata pihak berkuasa kelmarin.

    Terumbu seluas 5 meter kali 4 meter itu akan dipasang berhampiran pantai sekitar St Thomas dan dijangka siap pada bulan Julai, menurut jabatan perancangan dan sumber asli pulau tersebut.

    Projek itu akan dibiayai oleh lebih daripada AS$760,000 dalam bentuk wang persekutuan yang diberikan kepada Universiti Kepulauan Virgin selepas taufan Irma dan Maria melanda wilayah AS pada 2017.

    Jean-Pierre L Oriol, pesuruhjaya jabatan itu, berkata pegawai universiti sedang memilih spesimen terkuat daripada lebih 12 jenis terumbu karang di tapak semaian untuk dilekatkan pada terumbu tiruan tersebut. Beliau berkata pegawai sedang bekerjasama dengan Institusi Oseanografi Woods Hole di Massachusetts bagi mencipta reka bentuk yang sensitif terhadap alam sekitar.

    “Matlamatnya adalah untuk menyediakan habitat yang dipertingkatkan bagi batu karang yang bergelut dengan perubahan iklim dan menyediakan perlindungan pantai tambahan semasa kami berusaha untuk memulihkan terumbu karang semula jadi,” kata Marilyn Brandt, pengurus projek dan profesor penyelidikan di Universiti Kepulauan Virgin. – AP

    Orang ramai membersihkan serpihan dari jalan raya selepas dilanda Taufan Irma di St Thomas, pada 7 September 2017. Kepulauan Virgin, AS akan membina terumbu tiruan pertamanya tidak lama lagi. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda