Kepungan berakhir, protes baharu bermula

HONG KONG, 29 NOV – Beratus-ratus aktivis prodemokrasi Hong Kong mengadakan rapat umum di luar Konsulat Britain hari ini, menggesa bekas pemerintah kolonial itu mengambil langkah sama dengan Amerika Syarikat (AS) dan mengambil tindakan konkrit menyokong perjuangan mereka, ketika polis menamatkan kepungan di sebuah kampus universiti selepas 12 hari.

Mengibarkan bendera Britain, aktivis menggesa Britain memastikan penentang politik Hong Kong tidak mengalami nasib yang sama seperti Simon Cheng, bekas pekerja Konsulat Britain di bandar itu yang mengatakan dia ditahan dan didera oleh polis rahsia China.

Rapat itu berlaku sehari selepas Presiden AS Donald Trump menandatangani dua rang undang-undang untuk menyokong demokrasi dan hak asasi manusia di wilayah separa autonomi China itu.

“UK seharusnya melaksanakan undang-undang serupa dan melakukan lebih lagi untuk menyokong pergerakan protes,” kata seorang penganjur rapat bertopeng yang mengenalkan dirinya hanya sebagai Dawn. Aktivis turut menyerahkan petisyen kepada pegawai Konsulat Britain sebelum meninggalkan perkarangan konsulat.

Beijing menafikan ia mendera Cheng dan mengatakan dia ditahan kerana melanggan pelacur semasa satu kunjungan perniagaan ke tanah besar di China. Cheng mengatakan dia bersetuju untuk membuat pengakuan demi mengelak tuduhan lebih berat. Dia mengatakan dia ditutup muka, dipukul dan dirantai ke rangka besi ketika polis rahsia China cuba mendapatkan maklumat mengenai aktivis terbabit dalam bantahan dan peranan Britain.

Cheng sudah pun meninggalkan konsulat dan kini dalam persembunyian.

Keganasan di hab kewangan terkemuka Asia itu semakin reda semenjak kemenangan mengejutkan oleh pihak prodemokrasi dalam pilihan raya tempatan pada 24 November lalu, dilihat sebagai tamparan hebat kepada ketua bandar yang dibelenggu krisis, Carrie Lam.

Pembantah bagaimanapun mengatakan mereka merancang lebih banyak rapat umum pada hujung minggu ini bagi memberikan lebih banyak tekanan ke atas Lam yang enggan menawarkan sebarang konsesi baharu terhadap permintaan mereka, termasuk demokrasi yang lebih meluas dan satu siasatan bebas ke atas kekejaman polis. –AP

Pembantah mengibarkan bendera Britain ketika mereka mengadakan rapat umum di luar Konsulat Britain di Hong Kong. Kepungan polis di sebuah kampus universiti sudah pun berakhir namun bantahan baharu dijangka mencengkam Hong Kong pada hujung minggu ini. –AP