KUALA LUMPUR, 6 APRIL – Di tengah-tengah usaha Amerika Syarikat (AS) membentuk semula sistem perdagangan global untuk manfaatnya sendiri, peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN bagi 2025 menjadi kritikal dalam meneraju pertumbuhan seterusnya ekonomi blok itu.
Ketua Institut Kajian Asia Tenggara Jeffrey Cheah, Universiti Sunway, Profesor Shandre Mugan Thangavelu berkata ASEAN berada di persimpangan penting untuk mendukung visi pertumbuhan bersama, kerjasama ekonomi dan integrasi serantau bagi pembangunan mampan.
“Sudah tiba masanya untuk Malaysia, selaku pengerusi, menegakkan prinsip dan pendirian dasar teras ASEAN dalam menangani kejutan tarif yang belum pernah berlaku sebelum ini oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump terhadap ekonomi global secara umumnya, dan khususnya kepada ASEAN.
“Kepimpinan negara dalam menyelaraskan pendirian dasar dan tindak balas akan menjadi penting untuk menangani tarif timbal balik Trump secara strategik dan berkesan,” katanya kepada Bernama.
Shandre berkata langkah penting bagi negara anggota ASEAN adalah untuk mengekalkan dan mengukuhkan kepusatan ASEAN melalui visi pertumbuhan bersama.
“Tindak balas individu terhadap tarif timbal balik Trump akan menyerlahkan keperluan untuk mengukuhkan kepusatan ASEAN, khususnya melalui perjanjian perdagangan bebas pelbagai hala seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC),” katanya. – Bernama
