Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Menteri-menteri pertanian dan perhutanan ASEAN dan menteri-menteri pertanian Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea merakamkan perasaan puas hati dengan keputusan daripada Penilaian Strategi Kerjasama ASEAN+3 (APTCS) bagi Makanan, Pertanian dan Perhutanan 2011- 2015 yang menunjukkan jumlah projek dan inisiatif yang signifikan yang telah dilaksanakan di rantau ini.
Projek dan inisiatif yang dilaksanakan itu, memberi tumpuan kepada mengukuhkan lagi sekuriti makanan, pembangunan tenaga biojisim, pengurusan perhutanan mapan, pengurangan dan adaptasi kepada perubahan iklim, meningkatkan pembangunan kapasiti dan pembangunan sumber manusia, kawalan penyakit, kesihatan binatang dan tumbuh-tumbuhan, pengukuhan sistem maklumat, rangkaian dan pertukaran ilmu pengetahuan serta penyelidikan, perkembangan dan meningkatkan produktiviti, kualiti dan kebolehpasaran produk-produk pertanian.
Perkara itu antara yang dinyatakan dalam kenyataan bersama menteri-menteri yang bersidang di Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN dan Menteri-menteri Pertanian Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea ke-17 (17th AMAF Plus Three) yang berlangsung di Chiang Mai, Thailand, hari ini. Delegasi Negara Brunei Darussalam di mesyuarat berkenaan diketuai oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.
Turut hadir di mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Thailand, Haji Ismail bin Haji Abdul Manap.
Menurut kenyataan bersama itu, menteri-menteri bersidang turut menyatakan sokongan kepada APTCS untuk tempoh 2016-2025 yang mana ia menyediakan skop dan tindakan bersama bagi kerjasama ASEAN+3 (APT) untuk makanan, pertanian dan perhutanan dengan matlamat untuk memastikan sekuriti makanan dan sumber kehidupan, mempromosikan pembangunan sektor pertanian dan perhutanan mapan, meningkatkan perdagangan bagi produk-produk berasaskan pertanian dan perhutanan serta untuk menangani isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor pertanian dan perhutanan di negara-negara APT.
