Keputusan ‘AS’, ‘A’ Level sudah keluar, daftar SMS ‘O’ Level hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Pendaftaran perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) bagi mendapatkan Keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge General Certificate of Education ‘O’ Level and IGSCE Oktober/November 2019 mula dibukakan esok, 24 Januari.

Perkhidmatan ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan dengan inisiatif dan kerjasama DST Communications Sdn Bhd (DST) dan Mach Telecommunications Systems Sdn Bhd (MachTel).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, ibu bapa dan pelajar yang ingin melanggan perkhidmatan berkenaan dikehendaki mendaftar secara atas talian melalui web portal Kementerian Pendidikan, www.moe.gov.bn atau portal e-Darussalam.

Pendaftaran dapat dilakukan menggunakan telefon bimbit melalui khidmat SMS dengan menaip MOE<jarak>REG<jarak>(kod pusat)<jarak>(nombor calon)<jarak>(nombor kad pengenalan calon) dan hantar ke talian 8885555 bagi pelanggan DST dan 38666 bagi pelanggan Progresif Cellular Sdn Bhd.

Bayaran $3 akan dikenakan bagi setiap keputusan SMS yang diterima.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut hantar pertanyaan menerusi e-mel mach@machbrunei.com atau melayari sesawangnya.

Sementara itu, Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berasingan telah mengeluarkan keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘AS’ dan ‘A’ Level Oktober/November 2019, kelmarin.

Daripada 1,706 calon yang menduduki peperiksaan tersebut, pencapaian calon yang memperolehi sekurang-kurangnya tiga ‘A’ Level ialah 1,204 calon atau 70.57 peratus iaitu peningkatan sebanyak 0.46 peratus.

Manakala, peratus calon mendapat dua ‘A’ Level ialah 85.7 peratus, menurun sebanyak 0.29 peratus dan peratus calon memperolehi satu ‘A’ Level ialah 94.26 peratus iaitu me-ningkat sebanyak 0.39 peratus berbanding keputusan peperiksaan 2018.

Manakala, di peringkat sekolah pencapaian calon memperolehi tiga ‘A’ level ialah 75.14 peratus, menurun 0.41 peratus. Manakala, calon mendapat dua ‘A’ Level ialah 90.67 peratus dan calon memperolehi satu ‘A’ Level ialah 97.24 peratus, naik 0.09 peratus.

Pada keseluruhannya seramai 167 calon atau 9.79 peratus mendapat gred A ke atas dalam dua hingga empat mata pelajaran.

Seramai 21 orang calon sekolah memperolehi gred A*/A dalam empat mata pelajaran, sejumlah 67 calon mendapat gred A*/A dalam tiga mata pelajaran dan 79 calon telah memperolehi gred A*/A dalam dua mata pelajaran.

Pada keseluruhannya, sembilan mata pelajaran menunjukkan pencapaian meningkat di antara 0.09 peratus hingga 13.42 peratus iaitu Usuluddin, Bahasa Melayu, Travel & Tourism, Sains Komputer, Geografi, Sosiologi, Biologi, Kimia dan Kesenian dan Reka Bentuk.

Sementara itu tiga mata pelajaran menunjukkan pencapaian yang sama seperti pencapaian tahun 2018 iaitu pencapaian 100 peratus bagi mata pelajaran Hafaz Al-Quran, Further Mathematics dan Pendidikan Jasmani.

Daripada 1,027 calon yang menduduki Peperiksaan ‘AS’ Level, calon-calon yang mendapat sekurang-kurangnya dua ‘AS’ Level adalah seramai 648 calon iaitu 63.10 peratus dengan penurunan sebanyak 0.70 peratus.

Manakala, seramai 942 atau 91.72 peratus telah mencapai sekurang-kurangnya satu ‘AS’ Level iaitu penurunan sebanyak 2.44 peratus jika dibandingkan dengan keputusan Oktober/November 2018.

Sementara, pencapaian calon pada keseluruhannya, 74 calon berjaya mencapai gred A dalam sekurang-kurangnya dua mata pelajaran.