Friday, September 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keputusan Australia lanjut operasi arang batu terima kecaman

    SYDNEY, 25 SEPT – Keputusan Australia untuk melanjutkan jangka hayat tiga lombong arang batu telah dilabel sebagai ‘pengkhianatan’ oleh kumpulan iklim yang berkata hari ini bahawa ia bermakna 1.3 bilion tan lagi pelepasan akan dilepaskan ke atmosfera.

    Tiga lombong arang batu termal di tenggara Australia akan dibenarkan untuk terus beroperasi antara lapan dan 22 tahun lagi, menghasilkan bahan api untuk stesen jana kuasa elektrik.

    Kebanyakan daripada 16 stesen jana kuasa arang batu di Australia dijangka ditutup dalam beberapa tahun akan datang, menyebabkan pihak berkuasa terdesak mencari sumber tenaga alternatif.

    Walaupun pelaburan dalam projek tenaga boleh diperbaharui telah melonjak, penggubal dasar telah memutuskan untuk melanjutkan hayat beberapa lombong arang batu kerana kelewatan, birokrasi dan masa pembinaan yang panjang.

    Keputusan kerajaan kelmarin membolehkan lombong di Lembah Hunter dan satu di Narrabri lebih jauh ke utara di negeri New South Wales untuk terus beroperasi lebih lama dan mengembangkan operasi bawah tanah.

    Pengurus program iklim Yayasan Pemuliharaan Australia, Gavan McFadzean mengecam keputusan itu, yang akan menghasilkan ‘lebih 1.3 bilion tan pelepasan seumur hidup’ dan ‘menjejaskan usaha Australia mencapai sifar bersih menjelang 2050’.

    Beliau berkata persekitaran semula jadi Australia yang unik akan terjejas akibat keputusan itu dan memburukkan lagi krisis iklim. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda