BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Pengumuman bagi keputusan HECAS 2024 (Pengambilan Pusingan Pertama) untuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Politeknik Brunei (PB) bagi Tahun Akademik 2024/2025 telah dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan bahawa para pemohon bolehlah mengakses akaun HECAS masing-masing untuk mengetahui status permohonan di laman sesawang HECAS iaitu https://hecas.moe.gov.bn.
Bagi pemohon yang tidak berjaya tetapi memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan oleh IPTA dan berhasrat untuk membuat rayuan, mereka akan diberikan tempoh tiga hari waktu bekerja bagi menghadapkan rayuan bermula 5 Jun.
Hari terakhir untuk menghadapkan surat rayuan dan dokumen yang berkenaan adalah pada 8 Jun sebelum 4:30 petang dan pemohon disarankan untuk memohon ke program yang berlainan daripada yang pernah dipohonkan pada Februari yang lalu.
Surat rayuan dan dokumen yang berkenaan bolehlah dihadapkan ke institusi-institusi yang berkenaan sama ada hardcopy atau softcopy di bawah tajuk APPEAL HECAS 2024 (1st Round).

Bagi UBD, permohonan rayuan hanya boleh dihadapkan menerusi e-mel dan ditujukan kepada Pendaftar dan Setiausaha (U.P: Penolong Pendaftar Kemasukan dan Rekod Pelajar), UBD melalui e-mel office.admission@ubd.edu.bn.
Bagi UNISSA, ia boleh dihadapkan secara hardcopy atau softcopy kepada Pejabat Pengurusan Akademik, UNISSA, Simpang 347, Jalan Pasar Gadong, Gadong, Bandar Seri Begawan, BE1310 atau e-mel oam@siswa.unissa.edu.bn.
Permohonan bagi UTB juga boleh dihadapkan secara hardcopy atau softcopy kepada Pendaftar dan Setiausaha Pusat Staf dan Pelajar, UTB, Jalan Tungku Link, Gadong BE1410 atau e-mel admission.ug@utb.edu.bn.
Sementara itu, bagi PB, permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara dalam talian, di mana sebarang penghantaran surat rayuan secara hardcopy atau softcopy tidak diperlukan dan tidak akan dilayan.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut bolehlah berhubung terus melalui talian 8931819 (semasa waktu bekerja) atau melalui e-mel admission.appeal@pb.edu.bn.









