Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan memaklumkan keputusan pengambilan melalui HECAS bagi kemasukan Januari 2026 Sesi Akademik 2025/2026 untuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Politeknik Brunei (PB) akan dikeluarkan pada 12 November, jam 9 pagi.
Dalam kenyataan Kementerian Pendidikan, para pemohon boleh mengakses akaun HECAS masing-masing untuk mengetahui status permohonan di laman sesawang HECAS, https://hecas.moe.gov.bn.
Sementara itu, surat tawaran akan dihantar melalui e-mel oleh pihak IPTA masing-masing kepada pemohon yang berjaya dengan tarikh akhir untuk menerima atau menolak tawaran adalah pada 22 November, jam 4 petang.
Bagi pemohon yang tidak berjaya tetapi memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan oleh IPTA dan berhasrat untuk membuat rayuan, mereka hendaklah mengambil perhatian mengenai perkara-perkara termasuk keterangan lanjut mengenai proses rayuan boleh didapati di laman sesawang HECAS, https://hecas.moe.gov.bn; pemohon diberikan tempoh tiga hari bekerja untuk mengemukakan rayuan kepada pihak IPTA masing-masing bermula 13 November; hari terakhir untuk menghadapkan surat rayuan berserta dokumen berkaitan ke IPTA pada 17 November sebelum pukul 4 petang serta pemohon yang berhasrat untuk membuat rayuan adalah disarankan untuk memohon ke program yang berlainan daripada permohonan awal.
Pemohon yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh berhubung terus dengan Pentadbiran HECAS melalui e-mel, ask.hecas@moe.gov.bn atau menghubungi talian 2381992/2381224 semasa waktu pejabat.


