DHAKA, 16 Okt – Keputusan mengenai kes rasuah mantan Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia dan tiga yang lain akan diumumkan pada 29 Oktober ini, menurut mahkamah hari ini.
Hakim Md Akhtaruzzaman dari Special Court-5 di Dhaka meletakkan tarikh itu selepas menolak petisyen yang difailkan oleh peguam Zia untuk menangguhkan kes rasuah Zia.
Pada Februari lalu, Zia, yang juga pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), dijatuhi hukuman lima tahun penjara bagi kes rasuah yang lain.
Kes rasuah Badan Amanah Anak Yatim telah difailkan pada Julai 2008 yang mengatakan bahawa Zia dan lima yang lain termasuk anak lelakinya, Tarique Rahman menggelapkan lebih 20 juta taka daripada badan amanah anak yatim semasa beliau menjadi perdana menteri pada penggal 2001 hingga 2006.
Pada 2011, badan anti-rasuah mendakwa Zia dan tiga yang lain mengambil 21.5 juta taka daripada Badan Amal Zia.
Mantan perdana menteri itu dilaporkan berdepan berpuluh-puluh kes termasuk lima tuduhan rasuah dan 15 kes menjadi dalang keganasan semasa gerakan anti-kerajaan sejak 2014.
Zia seringkali berkata, kes tersebut berkaitan dengan politik dendam yang dikenakan ke atasnya dan anak beliau. – Xinhua
