Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam (JPI) selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Pemilihan Calon ke Sekolah Arab (PCKSA) tahun 1442H / 2021M telah dikeluarkan.
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam kenyataan yang dikeluarkan mengongsikan bahawa seramai 2,386 orang calon telah menduduki peperiksaan PCKSA dan daripada jumlah tersebut seramai 754 orang calon (31.60 peratus) telah lulus dan seterusnya akan mengikuti pengajian Tahun 5 di sekolah-sekolah Arab yang berkenaan bagi sesi pengambilan 1443H/ 2022M. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.14 peratus daripada pencapaian 2020.
Daripada jumlah tersebut, seramai 367 orang (31.23 peratus) adalah calon lelaki dan 387 orang (31.96 peratus) adalah calon perempuan.
Kenyataan turut memaklumkan bahawa guru-guru besar sekolah agama yang berkenaan hendaklah mengambil keputusan calon bagi sekolah masing-masing pada 15 Januari di pejabat Bahagian Peperiksaan, JPI di Lantai Bawah, Bangunan KHEU bermula 3 petang. Ibu bapa atau penjaga calon bolehlah menghubungi pihak sekolah di mana anak mereka bersekolah ugama untuk mengetahui keputusan anak masing-masing.
Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga bagi calon-calon yang lulus dalam peperiksaan berkenaan bolehlah mengambil borang pendaftaran atau kemasukan ke sekolah Arab di sekolah-sekolah Arab.
Bagi calon lelaki di Daerah Brunei dan Muara bertempat di Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, bagi calon perempuan di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (bangunan SUAMPRIPAD). Di Daerah Tutong, borang boleh didapati di Ma’had Islam Brunei Tutong bagi lelaki dan perempuan, seterusnya Sekolah Arab Belait bagi Daerah Belait dan Sekolah Arab Temburong bagi Daerah Temburong.
Borang berkenaan bolehlah diambil bermula 17 Januari depan pada hari bekerja, dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang. Tarikh akhir mengembalikan borang adalah pada 25 Januari 2022. Sementara itu, ibu bapa atau penjaga pelajar dari Sekolah al-Falaah hendaklah mengambil borang di Sekolah Al-Falaah Sungai Akar mulai 17 Januari dan mengembalikannya ke sekolah berkenaan tidak lewat 25 Januari 2022.
Dalam pada itu, ibu bapa atau penjaga calon-calon peperiksaan yang ingin mendapatkan keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) bolehlah berbuat demikian dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) nombor pusat peperiksaan (jarak) nombor indeks calon dan hantar ke talian 8885555 bagi pelanggan DST dan 38666 bagi pelanggan Progresif.