Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Senarai Penender Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK) khas bagi satu angka yang berjaya akan diumumkan mulai esok melalui laman sesawang rasmi Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Sehubungan itu, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang http://www.jpd.gov.bn bagi mengetahui keputusan tawaran masing-masing.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, JPD menyatakan bahawa penender-penender yang berjaya dikehendaki untuk mengambil surat berjaya masing-masing mulai esok di penyambut tetamu Ibu Pejabat JPD.
Dalam pada itu, penender-penender yang berjaya dikehendaki untuk mematuhi terma dan syarat Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK) khas yang terkini termasuk membawa bersama kad pengenalan dan menjelaskan harga tawaran penuh di cawangan JPD yang berkenaan.
TPK khas hendaklah didaftarkan di atas nama penender sendiri dalam tempoh satu bulan dari tarikh surat tawaran berjaya iaitu 14 Januari 2023.
Permohonan untuk melanjutkan tempoh kebenaran mendaftar TPK khas boleh dipohonkan setelah bayaran penuh dijelaskan dan dihadapkan dalam tempoh satu bulan dari tarikh surat tawaran berjaya dikeluarkan.
Jumlah bayaran bagi melanjutkan tempoh mendaftar TPK adalah sebanyak $60 bagi tempoh tiga tahun, dan penender yang berjaya dan ingin membuat permohonan serah TPK Khas adalah tidak dibenarkan.
Penender yang gagal untuk membayar harga tawaran akan disenaraihitamkan daripada menyertai tawaran tertutup bagi tempoh satu tahun.
Oleh yang demikian, jabatan berkenaan berhak untuk menarik balik TPK berkenaan dan akan menawarkan kepada orang ramai melalui tawaran terbuka (NomborKu). Sebarang wang pembayaran yang telah dibayar tidak akan dikembalikan.
Dalam hubungan ini, JPD mengucapkan tahniah kepada penender-penender yang berjaya dan seterusnya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penender atas kerjasama dan sokongan yang diberikan.
Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi JPD semasa waktu pejabat melalui talian 2451990/91, Talian Darussalam 123 atau melalui e-mel info_ltd@jpd.gov.bn.
Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.jpd.gov.bn dan Instagram @jpd.bn bagi maklumat lanjut.

