Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Keputusan peperiksaan BC-GCE Peringkat AS, A diumumkan

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat AS dan A Sesi Oktober/November 2023 telah pun dikeluarkan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, seramai 1,115 calon telah menduduki peperiksaan BC-GCE Peringkat AS sesi Oktober/November 2023 dan daripada jumlah itu, seramai 1,110 orang adalah calon sekolah.

    Seramai 807 orang calon sekolah (72.70%) telah memperoleh dua AS Level dan ke atas, manakala calon sekolah yang memperoleh tiga AS Level dan ke atas adalah seramai 522 (47.03%).

    Seramai 113 orang calon sekolah pula berjaya memperoleh Gred A dalam sekurang-kurangnya dua mata pelajaran. Daripada jumlah ini, seramai 79 calon telah memperoleh Gred A dalam dua mata pelajaran dan 34 calon telah memperoleh Gred A dalam tiga mata pelajaran dan ke atas.

    Manakala itu, seramai 1,649 calon telah menduduki peperiksaan BC-GCE Peringkat A sesi Oktober/November 2023 dan daripada jumlah itu, seramai 1,582 adalah calon sekolah.

    Gambar Freepik

    Daripada jumlah calon sekolah berkenaan, seramai 1,335 orang (84.39%) telah memperoleh dua A Level dan ke atas.

    Manakala calon sekolah yang memperoleh tiga A Level dan ke atas adalah seramai 1,073 (67.83%).

    Seramai 125 calon sekolah berjaya memperoleh Gred A*/A dalam sekurang-kurangnya dua mata pelajaran.

    Daripada jumlah tersebut, seramai 61 calon telah memperoleh Gred A*/A di dalam sekurang-kurangnya dua mata pelajaran dan 64 calon telah memperoleh Gred A*/A dalam tiga mata pelajaran dan ke atas.

    Kementerian itu memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan hanya akan diperoleh melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

    Manakala itu, slip keputusan, seperti yang biasanya dikeluarkan selepas keputusan peperiksaan diumumkan kepada penuntut-penuntut sekolah dan calon persendirian hanya akan diberikan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

    Bagi mana-mana calon yang berhasrat untuk menduduki peperiksaan BC-GCE Peringkat AS dan A, pendaftaran bagi Mei/Jun Tahun 2024 masih dibukakan dan tarikh tutup pendaftaran ialah pada 15 Februari. Calon-calon sekolah hendaklah menghadapkan permohonan melalui sekolah masing-masing.

    Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai pendaftaran peperiksaan bolehlah melayari laman web Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn atau melalui kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan semasa hari bekerja dari 7:45 pagi hingga 12 tengah hari dan dari 1:30 petang hingga 4 petang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...