Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keputusan peperiksaan BCGCE AS dan A dikeluarkan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE (BCGCE) Peringkat AS dan A Sesi Mei/Jun 2023 telah dikeluarkan oleh Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan.

    Kementerian Pendidikan, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa seramai 1,564 orang calon menduduki Peperiksaan BCGCE Peringkat AS Sesi Mei/Jun 2023 dan daripada jumlah berkenaan, seramai 1,557 orang adalah calon sekolah dan tujuh adalah calon persendirian.

    Di peringkat nasional, seramai 1,199 orang calon atau 76.66 peratus telah memperoleh dua AS level dan ke atas. Manakala, seramai 811 orang calon atau 51.85 peratus telah memperoleh tiga AS level dan ke atas.

    Di peringkat sekolah, seramai 1,197 orang calon atau 76.88 peratus telah memperoleh dua AS level dan ke atas. Manakala itu, seramai 810 orang calon atau 52.02 peratus memperoleh tiga AS level dan ke atas.

    Bagi BCGCE Peringkat A Sesi Mei/Jun 2023, seramai 100 orang calon telah menduduki peperiksaan berkenaan dan daripada jumlah berkenaan, seramai 19 orang calon atau 19 peratus adalah calon sekolah dan 81 orang calon atau 81 peratus adalah calon persendirian.

    Gambar Envato Elements

    Di peringkat nasional, seramai 43 orang calon atau 43 peratus telah memperoleh dua A level dan ke atas. Manakala itu, seramai 28 orang calon atau 28 peratus telah memperoleh tiga A level dan ke atas.

    Di peringkat sekolah, seramai 12 orang calon atau 63.16 peratus telah memperoleh dua A level dan ke atas. Manakala, seramai sembilan orang calon atau 47.37 peratus telah memperoleh tiga A level dan ke atas.

    Penuntut-penuntut yang telah mengambil peperiksaan berkenaan, boleh mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing. Manakala calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat.

    Sementara itu, bagi mana-mana calon yang berhasrat untuk menduduki peperiksaan BCGCE AS, A, O Level dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi sesi Oktober/November 2023, pendaftaran late entry akan dibukakan bermula esok hingga 7 September.

    Bagi mereka yang ingin mendapatkan sebarang maklumat lanjut mengenai pendaftaran peperiksaan sesi Oktober/November 2023, boleh melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan atau datang terus ke kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda