Tuesday, January 14, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keputusan peperiksaan G.C.E ‘O’ Level, IGCSE meningkat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E Peringkat ‘O’ dan IGCSE Oktober/November 2019 menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2018. Menurut kenyataan Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, seramai 6,147 calon menduduki Peringkat ‘O’ termasuk IGCSE dan 1,164 daripada memperolehi lapan hingga 11 Peringkat ‘O’ meningkat sebanyak 0.56 peratus.

    Seramai 2,525 calon lagi memperolehi 5 hingga 11 Peringkat ‘O’ yang meningkat sebanyak 1.67 peratus. Manakala calon-calon yang memperolehi sekurang-kurangnya 4 Peringkat ‘O’ ke atas adalah seramai 2,987 menunjukkan peningkatan 1.16 peratus berbanding dengan pencapaian para calon dalam tahun 2018.

    Daripada 6,029 calon sekolah kerajaan dan swasta, seramai 2,524 memperolehi sekurang-kurangnya 5 Peringkat ‘O’ dengan peningkatan sebanyak 1.2 peratus daripada pencapauan tahun sebelumnya manakala seramai 2,985 memperolehi sekurang-kurangnya 4 Peringkat ‘O’ dengan peningkatan 0.59 peratus daripada tahun 2018.

    Seramai 309 calon sekolah mendapat Gred A dalam 5 hingga 11 matapelajaran, 20 calon menunjukkan keputusan cemerlang Agregat 6, Gred A* dalam 6 hingga 9 mata pelajaran. Pencapaian ini meningkat 0.19 peratus dari tahun 2018.

    Di samping itu, seramai 13 calon mendapat Gred A dalam 9 mata pelajaran yang terdiri daripada tiga calon dari sekolah kerajaan. Sementara itu, 39 calon mendapat Gred A dalam 8 mata pelajaran yang terdiri daripada 13 calon dari sekolah kerajaan. Seramai 70 calon beroleh Gred A dalam 7 mata pelajaran, 82 calon mendapat Gred A dalam 6 mata pelajaran dan 102 calon mendapat Gred A dalam 5 mata pelajaran.

    Bagi calon sekolah kerajaan, seramai 893 memperolehi 8 hingga 11 Peringkat ‘O’ iaitu peningkatan sebanyak 0.72 peratus daripada tahun lalu.

    Daripada 5,313 calon sekolah kerajaan, seramai 2,020 mendapat sekurang-kurangnya 5 Peringkat ‘O’. Pencapaian ini meningkat sebanyak 1.33 peratus.

    Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (B) telah mengekalkan prestasi pencapaian 100 peratus lulus seperti tahun 2018 dalam memperolehi sekurang-kurangnya 5 Peringkat ‘O’.

    Sementara sebuah sekolah telah mencapai 91.24 peratus dan sebuah sekolah lagi mencapai 84.62 peratus dalam memperolehi sekurang-kurangnya 5 Peringkat ‘O’.

    Penuntut-penuntut boleh mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing pada waktu sekolah, manakala calon-calon persendirian bolehlah mengambil slip keputusan masing-masing di Jabatan Peperiksaan, pada waktu pejabat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda