Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keputusan peringkat O, IGCSE Mei/Jun sudah keluar

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan memaklumkan Keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. Peringkat ‘O’ dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) Sesi Mei/Jun 2025 telah dikeluarkan kelmarin.

    Kementerian Pendidikan dalam siaran akhbar yang dikeluarkan kelmarin mengongsikan, seramai 1,164 calon telah menduduki peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. Peringkat ‘O’ dan IGCSE pada sesi Mei/Jun 2025, daripada jumlah itu, 846 adalah calon sekolah dan 318 adalah calon persendirian.

    Pada peringkat nasional pula, seramai 48 calon iaitu 4.12 peratus calon telah berjaya memperolehi sekurang-kurangnya 5 ‘O’ Level dan IGCSE dan 150 calon (12.89 peratus) telah memperolehi sekurang-kurangnya 4 ‘O’ Level dan IGCSE.

    Sementara di peringkat sekolah, seramai 48 calon iaitu 5.67 peratus telah berjaya memperolehi sekurang-kurangnya 5 ‘O’ Level dan IGCSE dan 150 calon (17.73 peratus) telah memperolehi sekurang-kurangnya 4 ‘O’ Level dan IGCSE.

    Penuntut-penuntut yang telah mengambil peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing.

    Manakala bagi calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.

    Kementerian berkenaan turut memaklumkan, bagi mana-mana calon yang berhasrat untuk menduduki peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E Peringkat ‘O’ dan IGCSE bagi Sesi Oktober/November 2025, pendaftaran Late Entry akan dibukakan sehingga 30 Ogos ini.

    Maklumat lanjut bagi pendaftaran peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E Peringkat ‘O’ dan IGCSE Sesi Oktober/November 2025 bolehlah diperolehi dengan melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn atau ke kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan semasa waktu pejabat dibuka.

    Keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. Peringkat ‘O’ dan IGCSE Sesi Mei/Jun 2025 telah dikeluarkan kelmarin. – Foto hiasan dari ChatGpt
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda