Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keputusan Peringkat O, IGCSE sudah keluar

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan memaklumkan bahawa Keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat O dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) Sesi Oktober/November 2024 telah dikeluarkan kelmarin.

    Secara keseluruhannya, pada peringkat nasional, seramai 5,533 calon telah menduduki peperiksaan sesi Oktober/November 2024.

    Daripada jumlah tersebut, seramai 5,429 (98.12 peratus) adalah calon sekolah dan 104 (1.88 peratus) calon persendirian.

    Pada peringkat nasional, seramai 1,045 calon (18.89 peratus) telah berjaya memperoleh 8 O Level dan IGCSE ke atas manakala seramai 2,444 calon (44.17 peratus) telah berjaya memperoleh 5 O Level dan IGCSE ke atas pada peperiksaan sesi Oktober/November 2024.

    Sementara calon yang memperoleh 4 O Level dan IGCSE ke atas adalah seramai 2,875 (51.96 peratus).

    Gambar ChatGpt

    Pada peringkat sekolah, seramai 1,045 calon (19.25 peratus) telah berjaya memperoleh 8 O Level dan IGCSE ke atas manakala seramai 2,444 calon (45.02 peratus) telah berjaya memperoleh 5 O Level dan IGCSE ke atas.

    Sementara calon yang memperoleh 4 ‘O’ Level dan IGCSE ke atas adalah seramai 2,873 (52.92 peratus). Daripada 4,619 calon sekolah kerajaan, seramai 767 calon (16.61 peratus) telah berjaya memperoleh 8 O Level dan IGCSE ke atas dan 1,880 calon (40.70 peratus) telah berjaya memperoleh 5 O Level dan IGCSE ke atas.

    Manakala calon yang memperoleh 4 O Level dan IGCSE ke atas adalah seramai 2,260 (48.93 peratus).

    Bagi calon sekolah swasta, daripada seramai 810 calon, seramai 278 calon (34.32 peratus) telah berjaya memperoleh 8 O Level dan IGCSE ke atas dan 564 calon (69.63 peratus) telah berjaya memperoleh 5 O Level dan IGCSE ke atas. Sementara 613 calon (75.68 peratus) mendapat 4 O Level dan IGCSE ke atas.

    Di samping itu, seramai 57 calon sekolah (1.05 peratus) telah berjaya mendapat Gred A*/A dalam 8 hingga 11 mata pelajaran, yang mana 15 daripadanya adalah terdiri daripada calon sekolah kerajaan.

    Sebanyak 22 daripada 49 buah sekolah yang terdiri daripada 17 buah sekolah kerajaan dan lima buah sekolah swasta telah menunjukkan peningkatan di antara 0.34 peratus dan 24.38 peratus berbanding pencapaian tahun 2023.

    Sehubungan itu, pencapaian dalam mata pelajaran BCGCE Peringkat O dan IGCSE, telah mencatatkan peratus prestasi calon di peringkat nasional dalam mata pelajaran utama yang mendapat Gred A-C adalah di antara 4.40 peratus dan 79.57 peratus.

    Manakala terdapat sejumlah enam mata pelajaran lain di peringkat nasional (Gred A-C) yang telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus di dalam peperiksaan sesi Oktober/November 2024.

    Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan turut memaklumkan penuntut-penuntut yang telah menduduki peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing. Manakala calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di Kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.

    Bagi mana-mana calon yang berhasrat untuk memperbaiki pencapaian keputusan peperiksaan BCGCE Peringkat O dan IGCSE, pendaftaran bagi bulan Mei/Jun Tahun 2025 masih lagi dibukakan dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 13 Februari. Bagi calon-calon sekolah bolehlah mendaftar melalui sekolah masing-masing.

    Maklumat lanjut bagi pendaftaran peperiksaan bagi bulan Mei/Jun Tahun 2025 bolehlah diperolehi dengan melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn atau ke kaunter Jabatan Peperiksaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda