Keputusan pilihan raya Cameroon dibatalkan

YAOUNDE, 26 FEB – Majlis Perlembagaan Cameroon semalam memutuskan keputusan pilihan raya parlimen yang berlangsung pada 9 Februari di 11 wilayah di Anglophone yang dilanda pergolakan dibatalkan, lapor agensi berita Xinhua.

Pengundian di kawasan pilihan raya itu didakwa tidak bebas dan adil kerana pertembungan antara puak pemisah dan tentera kerajaan, menyebabkan bilangan yang keluar mengundi kurang dan berlakunya penyelewengan. Pilihan raya di kawasan itu akan diadakan semula. “Kami gembira dengan keputusan itu yang membuktikan banyak benda salah berlaku di rantau berkenaan semasa pilihan raya, kami mahu kerajaan mencari penyelesaian untuk menamatkan konflik,” kata anggota kanan parti pembangkang utama, Demokratik Sosial Utama, Mbah Ndam. Cameroon mengadakan pilihan raya parlimen dan perbandaran pada 9 Februari. Parti pemerintah, Gerakan Rakyat Demokratik meraih kemenangan besar, menurut keputusan yang dikeluarkan majlis suruhanjaya penyeliaan. Beberapa petisyen pilihan raya dikemukakan kepada Majlis Perlembagaan, menuntut keputusan dibatalkan dan pengiraan semula diadakan di beberapa kawasan tertentu. – Bernama