Thursday, December 7, 2023
23.5 C
Brunei

    -

    Keputusan PSR dikeluarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan telah mengeluarkan keputusan Penilaian Sekolah Rendah 2023 pada hari ini.

    Seramai 6,093 calon telah menduduki peperiksaan pada tahun ini di mana 4,175 calon iaitu 68.52 peratus adalah calon sekolah kerajaan dan 1,918 calon bersamaan 31.48 peratus adalah calon sekolah swasta.

    Daripada keseluruhan calon ini, seramai 5,239 calon iaitu 85.98 peratus calon telah berjaya memperolehi Gred A hingga D dalam kelima-lima mata pelajaran manakala calon yang memperolehi Gred A hingga C dalam kelima-lima mata pelajaran adalah seramai 4,360 calon (71.56 peratus).

    Jumlah calon sekolah kerajaan yang memperoleh Gred A hingga C dalam kelima-lima mata pelajaran adalah seramai 2,801 calon (67.09 peratus) sementara itu pencapaian Gred A hingga C bagi calon sekolah swasta ialah seramai 1,559 calon (81.28 peratus).

    Sebanyak 36 buah sekolah telah mencapai keputusan 100 peratus lulus Gred A hingga D bagi kelima-lima mata pelajaran termasuk 22 buah sekolah kerajaan, manakala sebanyak 13 buah sekolah telah berjaya mencapai keputusan 100 peratus Gred A hingga C bagi kelima-lima mata pelajaran, di mana sembilan buah daripadanya adalah sekolah kerajaan.

    Gambar Freepik

    Seramai 556 calon sekolah iaitu 9.13 peratus telah mendapat Gred A dalam kelima-lima mata pelajaran, peningkatan sebanyak 1.08 peratus berbanding pencapaian pada tahun 2022 dan daripada jumlah tersebut, seramai 273 calon adalah terdiri dari calon-calon sekolah kerajaan.

    Secara keseluruhan seramai 498 calon sekolah (8.17 peratus) daripada 556 calon yang mendapat lima Gred A adalah terdiri dari rakyat Brunei manakala, pencapaian calon yang mendapat empat Gred A dan satu Gred B adalah seramai 662 calon, yang mana 376 calon (56.80 peratus) adalah daripada sekolah kerajaan. Terdapat peningkatan dalam empat mata pelajaran berbanding tahun 2022 bagi Gred A hingga C.

    Sementara bagi mata pelajaran-mata pelajaran tersebut adalah Melayu Islam Beraja 97.93 peratus, peningkatan sebanyak 0.27 peratus, Bahasa Inggeris 92.45 peratus peningkatan sebanyak 0.53 peratus, Sains 89.30 peratus peningkatan sebanyak 1.07 peratus dan Matematik 76.46 peratus peningkatan sebanyak 13.04 peratus.

    Manakala dari segi kualiti pencapaian calon yang memperolehi Gred A bagi setiap mata pelajaran secara keseluruhan adalah Melayu Islam Beraja 50.94 peratus, Bahasa Inggeris 39.76 peratus, Sains 38.74 peratus, Matematik 30.46 peratus dan Bahasa Melayu 25.76
    peratus.

    Sehubungan itu, pelajar-pelajar yang telah menduduki peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing.

    Manakala bagi calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Empat Rohingya terbunuh di Bangladesh

    BANGLADESH, 6 DIS – Empat orang pelarian Rohingya terbunuh dalam kejadian tembak-menembak antara dua kumpulan pemberontak di kem pelarian Bangladesh, kata polis hari ini. Bangladesh...