BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan pada hari ini telah mengeluarkan keputusan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) Tahun 2025.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, seramai 5,971 calon telah menduduki peperiksaan pada tahun ini, di mana 3,993 calon iaitu 66.87 peratus adalah calon sekolah kerajaan dan 1,978 calon iaitu 33.13 peratus adalah calon sekolah swasta.
Daripada keseluruhan calon ini, seramai 4,891 calon bersamaan 81.91 peratus calon telah berjaya memperoleh Gred A hingga D dalam kelima-lima mata pelajaran. Manakala calon yang memperoleh Gred A hingga C dalam kelima-lima mata pelajaran adalah seramai 3,860 calon iaitu 64.65 peratus.
Jumlah calon sekolah kerajaan yang memperoleh Gred A hingga C dalam kelima-lima mata pelajaran adalah seramai 2,336 calon (58.50 peratus) sementara itu pencapaian Gred A hingga C bagi calon sekolah swasta ialah seramai 1,524 calon (77.05 peratus).
Sementara itu, sebanyak 34 buah sekolah telah mencapai keputusan 100 peratus lulus Gred A hingga D bagi kelima-lima mata pelajaran termasuk 20 buah sekolah kerajaan.
Manakala sebanyak 16 buah sekolah telah berjaya mencapai keputusan 100 peratus Gred A hingga C bagi kelima-lima mata pelajaran, di mana 11 buah daripadanya adalah sekolah kerajaan.
Seramai 404 calon sekolah (6.77 peratus) telah mendapat Gred A dalam kelima-lima mata pelajaran.
Daripada jumlah tersebut, seramai 171 calon adalah terdiri daripada calon-calon sekolah kerajaan. Manakala, pencapaian calon yang mendapat empat Gred A dan satu Gred B adalah seramai 444 calon (7.44 peratus), yang mana 231 calon (52.03 peratus) adalah dari sekolah kerajaan.
Pelajar-pelajar yang telah menduduki peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing. Manakala bagi calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan mulai 15 November pada waktu pejabat dibuka.


