Khamis, November 20, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keputusan rayuan kes pembunuhan Altantuya ditetapkan tahun depan

    PUTRAJAYA, 7 NOV – Mahkamah Rayuan menetapkan 20 Januari tahun depan bagi keputusan rayuan difailkan kerajaan dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada keluarga warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

    Peguam Abraham Au yang mewakili Abdul Razak, mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Bernama.

    Beliau berkata mahkamah akan menyampaikan keputusan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.

    Pengurusan kes telah diadakan pada 4 November di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman.

    Pada 9 Oktober tahun ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Hashim Hamzah, Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan daripada semua pihak dalam rayuan tersebut.

    Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan saman sivil yang difailkan oleh keluarga Altantuya dan memerintahkan bekas pegawai polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, bersama Abdul Razak dan kerajaan, supaya membayar ganti rugi berjumlah RM5 juta secara bersama.

    Kerajaan dan Abdul Razak kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

    Ibu bapa Altantuya serta cucu mereka telah memfailkan saman berjumlah RM100 juta pada 4 Jun 2007, dengan mendakwa bahawa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi.

    Dua bekas pegawai polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, telah disabitkan bersalah pada 2009 atas tuduhan membunuh Altantuya di Shah Alam antara 19 dan 20 Oktober 2006. – Bernama

    Azilah Hadri disabitkan bersalah pada 2009 atas tuduhan membunuh Altantuya di Shah Alam antara 19 dan 20 Oktober 2006. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda