KUANTAN, 15 APRIL – Keputusan sama ada skuad Sri Pahang menarik diri atau kekal dalam saingan Liga Super bagi musim 2025-2026 belum dimuktamadkan, kata Pengerusi kelab bola sepak itu, Datuk Seri Raja Shaharudin Shah Raja Jalil Shah.
Beliau berkata pihaknya akan membuat keputusan tersebut selepas berakhirnya saingan Liga Super dan final Piala Malaysia musim ini.
Beliau berkata ini kerana pihaknya sedang membuat kajian menyeluruh tentang prestasi kelab itu musim ini sebelum satu perbincangan dilakukan dengan semua pihak terlibat.
“Keputusan muktamad hanya boleh dilakukan selepas ada perbincangan antara pemilik Sri Pahang, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, pihak pengurusan kelab dan penganjur.
“Buat masa ini fokus utama kita ialah persiapan pasukan Sri Pahang bagi aksi terakhir Liga Super bertemu Pulau Pinang dan Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya kepada pemberita semasa menghadiri sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri Sri Pahang FC di Kuantan, semalam.
Selain Sri Pahang, keputusan sama turut melibatkan dua pasukan kelab berkenaan dalam saingan Piala Belia dan Piala Presiden musim 2025-2026.
“Keputusan penarikan diri sebelum ini dibuat ketika masalah tunggakan gaji pemain Liga Super masih berlaku, tetapi kini ia sudah diselesaikan. Selagi masalah itu tidak selesai, kita tidak dapat memberikan komitmen untuk dua pasukan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata fokus utama Sri Pahang buat masa ini ialah melakukan persiapan terbaik dan tampil dengan aksi cemerlang bagi mengakhiri saingan Liga Super dan Piala Malaysia. – Bernama
