BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei telah mengeluarkan keputusan peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah 6 bagi tahun 1437H/2016 Masihi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, daripada 5,108 orang calon yang menduduki peperiksaan SSSRU, seramai 4,812 orang telah lulus dengan pencapaian sebanyak 94.21 peratus, meningkat sebanyak 1.16 peratus berbanding pencapaian calon tahun 2015.
Daripada jumlah itu juga, seramai 3,409 calon iaitu 66.74 peratus memperoleh pangkat satu, 811 calon (15.88 peratus) memperoleh pangkat dua dan seramai 592 calon (11.59 peratus) mendapat pangkat tiga.
Sementara itu, 70 dari 144 buah sekolah atau pusat peperiksaan yang mendaftar bagi peperiksaan ini iaitu 48.61 peratus telah berjaya memperoleh pencapaian 100 peratus lulus iaitu peningkatan sebanyak 8.33 peratus berbanding tahun 2015.
Sehubungan itu, calon-calon yang menduduki peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah agama masing-masing mulai esok (1 Mac) jam 1:30 petang.