Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Keputusan peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi tahun 1444H / 2023M telah dikeluarkan kelmarin oleh Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei.
Menurut kenyataan KHEU, seramai 5,056 orang calon telah menduduki peperiksaan berkenaan dan daripada jumlah berkenaan, 4,450 orang adalah calon sekolah dan 606 orang calon bukan sekolah.
Daripada seramai 4,450 orang calon sekolah, 3,551 orang calon telah lulus dengan peratus pencapaian sebanyak 79.8 peratus iaitu meningkat sebanyak 16.96 peratus berbanding 2022.
Sementara itu, daripada jumlah calon yang lulus, seramai 2,841 orang calon (63.84 peratus) memperoleh Pangkat 1 iaitu meningkat sebanyak 11.00 peratus, Pangkat 2 seramai 578 orang calon (12.99 peratus); dan 132 orang calon (2.97 peratus) memperoleh Pangkat 3.
Manakala 46 daripada 147 buah sekolah atau pusat peperiksaan yang mendaftar bagi peperiksaan berkenaan iaitu 31.29 peratus telah berjaya memperoleh pencapaian 100 peratus lulus iaitu meningkat sebanyak 18.28 peratus berbanding pencapaian tahun 2022.


