Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) memaklumkan kepada orang ramai bahawa keputusan tawaran tertutup Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK) bagi tiga dan empat angka Siri BBJ melalui Click-and-Bid akan diumumkan melalui laman sesawang NomborKu: www.nomborku.gov.bn pada 14 Januari ini.
Semua penender yang telah mengikuti tawaran tertutup TPK sama ada berjaya atau sebaliknya juga akan menerima e-mel mengenai keputusan tawaran melalui e-mel yang telah didaftarkan bersama JPD.
JPD dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini menjelaskan penender yang berjaya dikehendaki mematuhi terma dan syarat, iaitu hendaklah membayar keseluruhan harga tawaran dan mendaftarkan TPK di atas nama penender sendiri tidak lewat satu bulan daripada tarikh menerima surat berjaya.
Jika penender yang berjaya gagal membuat pembayaran penuh, maka TPK yang dimenangi akan dibatalkan secara automatik dan caj perkhidmatan tidak akan dikembalikan.
Permohonan untuk melanjutkan tempoh kebenaran mendaftar TPK bolehlah dipohonkan setelah bayaran penuh dijelaskan dan dihadapkan dalam tempoh satu bulan daripada tarikh surat berjaya dikeluarkan.
Setelah pembayaran berjaya dibuat dan sekiranya pemohon belum mendaftarkan TPK dan berhasrat untuk menyimpan TPK, penahanan TPK bolehlah dibuat dengan jumlah bayaran penahanan sebanyak $20 bagi tempoh setiap satu tahun penahanan.
Tempoh minimum bagi penahanan adalah satu tahun dan maksimum 10 tahun, dan tertakluk kepada jangka masa yang dipilih bagi setiap TPK.
Pembayaran TPK berjaya dan penahanan TPK boleh dilaksanakan secara dalam talian atau di mana-mana kaunter perkhidmatan JPD kecuali di Kompleks Litar Latihan dan Ujian Memandu JPD Sungai Akar.
Jika penender yang berjaya ingin menyerahkan TPK berkenaan, syarat-syarat perkhidmatan serah bagi TPK tiga dan empat angka adalah dibenarkan kepada sesiapa sahaja lebih daripada satu kali sama ada melalui Perkhidmatan Serah TPK sahaja atau Perkhidmatan Serah TPK melalui Tukar Milik Kenderaan.
Permohonan serah sama ada melalui Perkhidmatan Serah TPK atau Perkhidmatan Serah Tukar Milik Kenderaan selepas tempoh 12 bulan daripada tarikh surat berjaya dikeluarkan, permohonan yang dibenarkan akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak $5.00.
Permohonan serah sama ada melalui Perkhidmatan Serah TPK atau Perkhidmatan Serah Tukar Milik Kenderaan kurang daripada tempoh 12 bulan dari tarikh surat berjaya dikeluarkan, permohonan yang dibenarkan akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak $100.
Sementara bagi permohonan Serah sama ada melalui Perkhidmatan Serah TPK atau Perkhidmatan Serah Tukar Milik Kenderaan yang telah diproses dan dibenarkan, caj perkhidmatan tidak akan dikembalikan.
JPD mengucapkan tahniah kepada semua penender yang berjaya dan seterusnya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penender di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan.
Bagi sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JPD semasa waktu pejabat melalui WhatsApp +673 7181641 atau e-mel hello@jpd.gov.bn.
Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.jpd.gov.bn dan Instagram @jpd.bn bagi maklumat lanjut.