Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keputusan tuntutan cerai Adira, Datuk Red 5 Mac depan

    Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini menetapkan 5 Mac depan bagi keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik penyanyi Malaysia, Adira Suhaimi, dan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu berhubung proses penceraian mereka.

    Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar menetapkan tarikh itu selepas prosiding pelantikan wakil JKP oleh Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 42, telah selesai hari ini. Dalam prosiding hari ini, Datuk Red melantik rakannya sebagai wakil JKP, lapor Kosmo.

    Sebelum ini, pada prosiding terdahulu Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 32, selaku plaintif telah selesai melantik kakaknya Emma Suhaimi bagi wakil JKP berkenaan.

    Bagaimanapun, Adira dan Datuk Red tidak hadir ke mahkamah hari ini dan kehadiran mereka dikecualikan.

    Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

    Adira ketika bergambar bersama Adnan. – Kosmo Digital

    Terdahulu, semasa prosiding hari ini, peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan yang mewakili Datuk Red selaku defendan menyatakan ingin mengambil masa selama enam bulan bagi proses JKP itu.

    Namun peguam syarie, Nor Saidah Zakaria yang mewakil Adira membantah dan tidak bersetuju dengan tarikh yang panjang tersebut.

    Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Syarie kemudian menetapkan 5 Mac tahun depan bagi kedua-dua pihak mengemukakan laporan JKP masing-masing.

    “Tiada masalah sekiranya pihak plaintif dan defendan mahu berbincang kerana mereka masih bergelar suami isteri. Jika ada usaha untuk kembali semula, itu lebih baik dan mahkamah meraikannya,” kata hakim syarie itu.

    Untuk rekod, Adira memfailkan penceraian dengan suaminya pada 25 Oktober lalu selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.

    Adira berkata perpisahan merupakan satu-satunya jalan bagi menyelesaikan isu rumah tangga mereka. Pada 4 Disember lalu, beliau hadir di mahkamah di sini bagi proses (JKP). – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda