MISGAV, ISRAEL, 24 JULAI – Sebuah syarikat Israel sedang membangunkan ujian pernafasan koronavirus yang memberikan keputusan dalam 30 saat, menggelarnya sebagai alat ‘barisan depan’ yang boleh membantu memulihkan kehidupan normal semasa pandemik.
NanoScent, firma yang mengeluarkan kit ujian, berkata satu percubaan ekstensif di Israel untuk mengesan kehadiran virus hidup memberikan keputusan dengan 85 peratus ketepatan, dan produk itu boleh menerima kelulusan dalam masa beberapa bulan.
Ketua pegawai eksekutif Oren Gavriety memberitahu AFP alat pernafasan itu tidak akan mengganti ujian makmal, tetapi merupakan alat peme-riksaan yang boleh membantu orang ‘memperoleh keyakinan untuk kembali semula kepada kehidupan normal.’
Ujian bermula dengan beberapa soalan pendek mengenai pendedahan dan simptom COVID-19, dipamerkan di telefon orang yang menjalani prosedur.
Subjek ujian seterusnya menarik nafas menerusi hidung, menahan pernafasan, menutup sebelah lubang hidung dan menghembus menerusi lubang hidung, menerusi tiub yang dipegang tangan ke dalam beg kecil dipanggil ‘Perangkap Udara.’
Tiub itu seterusnya dipasang pada ‘Scent Reader,’ alat kecil yang menderu tatkala ia menyedut udara keluar dari beg.
Dalam masa beberapa saat, ‘COVID-19 negatif’ muncul di telefon semasa tinjauan dibuat AFP.
Penyelidik di ibu pejabat NanoScent di utara Israel sedang mempertingkat teknologi pengecaman, yang bergantung pada ‘bau dan pola bau,’ kata Gavriely. – AFP
