Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Surat layang boleh dianggap sebagai salah satu jenis aduan rasmi yang akan diambil perhatian serius dan tindakan sewajarnya oleh agensi tertentu di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Jika persuratan itu mengenai penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan, maka ia akan ditangani oleh jabatan-jabatan pengurusan JPM, di mana jabatan itu akan menyiasat mengenai kandungan surat tersebut bersama agensi yang berkaitan dan perkara berkenaan akan diambil tindakan serius oleh JPM bagi penambahbaikan dan melicinkan lagi jentera kerajaan.
Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menjelaskan perkara itu semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan di Dewan Majlis, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Pehin, surat layang juga menyerupai satu sumber maklumat pada pihak agensi-agensi penguatkuasaan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Biro Kawalan Narkotik dan Biro Mencegah Rasuah bagi hotspot seperti sewaktu COVID-19, ada laporan-laporan diterima daripada sumber-sumber tertentu mengenai kegiatan-kegiatan penyeludupan dan juga penyalahgunaan dadah serta pecah amanah.
“Namun demikian, pihak JPM ingin menitikberatkan maklumat dan juga accountability si pelapor dan juga kandungan surat tersebut yang mana ia tidak akan diterima terus secara mendadak, malahan dari proses-proses penyelidikan daripada pelbagai agensi,” ujarnya.
Manakala itu, jika surat layang berunsur negatif, berniat jahat atau fitnah untuk menjatuhkan seseorang, tambah beliau, perkara berkenaan boleh terus dilaporkan kepada pihak polis dan beberapa akta diperuntukkan dalam undang-undang.
Yang Berhormat Pehin menegaskan, penyebaran berita palsu seperti surat layang boleh membawa maksud fitnah, boleh menjatuhkan maruah seseorang serta menimbulkan perpecahan, perbalahan, dan kemusnahan harta serta kehilangan nyawa.
“Fitnah dan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini wajiblah dihindari, dan malah jika didapati bersalah dan diadili akan dijatuhkan hukuman yang selayaknya,” ujar beliau sambil berharap agar perbuatan berkenaan tidak akan dijadikan sebagai satu budaya dan akan dihentikan secara baiknya.



