Thursday, November 21, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan arah penduduk berpindah menjelang Taufan Usagi

    MANILA, 13 NOV – Filipina hari ini mengarahkan penduduk untuk berpindah menjelang ketibaan Taufan Usagi, sementara pejabat bencana Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) meminta bantuan sebanyak AS$32.9 juta untuk negara itu selepas ribut-ribut baru-baru ini mengorbankan lebih 150 orang.

    Perkhidmatan cuaca negara menyatakan bahawa Usagi – taufan kelima yang melanda kepulauan itu dalam tempoh tiga minggu – dijangka akan melanda esok di wilayah Cagayan di hujung timur laut pulau utama Luzon.

    Ketua pertahanan awam wilayah, Rueli Rapsing, berkata datuk-datuk bandar telah diarahkan untuk memindahkan penduduk di kawasan yang terdedah, dengan kekerasan jika perlu, ketika taufan yang bergerak dengan kelajuan 120 kilometer sejam itu semakin menghampiri negara itu.

    “Di bawah (protokol kecemasan), semua datuk bandar mesti melaksanakan pemindahan secara paksa, terutamanya untuk kawasan yang terdedah,” katanya, sambil menambah seramai 40,000 orang di wilayah tersebut tinggal di kawasan yang terdedah.

    Kawasan itu dijangka akan mengalami hujan sangat lebat berterusan esok dan Jumaat, yang boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh memandangkan tanah masih basah akibat hujan lebat baru-baru ini, kata peramal cuaca negara, Christopher Perez kepada wartawan. – AFP

    Pasukan penyelamat mengangkut penduduk yang terperangkap dari rumah mereka yang dinaiki air di sebuah kampung di bandar Ilagan, wilayah Isabela pada 12 November, sehari selepas Taufan Toraji melanda wilayah tersebut. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda