LOS ANGELES, 25 OGOS – SpaceX milik Elon Musk mendiskriminasi pencari suaka dan pelarian dengan menghalang mereka daripada memohon pekerjaan dan enggan mempertimbangkan atau mengupah mereka kerana status kewarganegaraan mereka, dakwa Jabatan Kehakiman dalam tuntutan mahkamah yang difailkan kelmarin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Dalam satu siasatan, jabatan itu mendapati bahawa tindakan yang diambil oleh perekrut syarikat dan ‘pegawai peringkat tinggi’ untuk menghalang pencari suaka dan pelarian daripada bekerja di syarikat aeroangkasa itu di Hawthorne, California, bersamaan larangan de facto terhadap pengambilan pekerja mereka, yang melanggar undang-undang persekutuan.
Sebagai contoh, saman itu berkata Musk menulis ciapan pada Jun 2020 kepada 36 juta pengikutnya ketika itu, “Undang-undang AS memerlukan sekurang-kurangnya pemilik kad penduduk tetap (green card) untuk diupah di SpaceX, kerana roket dianggap sebagai teknologi senjata canggih.” – Bernama
