Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan Australia perkenalkan sistem ID digital baharu

    CANBERRA, 13 OGOS – Kerajaan Australia telah mengumumkan rancangan untuk melancarkan sistem pengenalan digital terkemuka dunia.

    Bill Shorten, menteri perkhidmatan kerajaan, hari ini berkata bahawa rakyat Australia akan dapat menggunakan program Trust Exchange (TEx) untuk mengesahkan identiti dan kelayakan mereka secara digital menggunakan kod QR pada aplikasi telefon pintar myGov sedia ada menjelang akhir 2024.

    Beliau berkata dalam ucapan kepada Kelab Akhbar Nasional di Canberra bahawa sistem itu akan menghapuskan keperluan orang ramai untuk menyerahkan dokumen sensitif seperti pasport atau lesen memandu, memberikan rakyat Australia lebih kawalan ke atas maklumat peribadi yang mereka kongsikan.

    Ketika ini, dalam peringkat pembuktian konsep, teknologi itu akan menyimpan maklumat yang telah diselenggara oleh kerajaan dengan selamat termasuk tarikh lahir pengguna, alamat, kewarganegaraan atau status visa, kelayakan dan lesen pekerjaan.

    Shorten menyifatkan ia sebagai platform ID digital terkemuka dunia dan berkata beliau berharap ia akan menyaingi tahap paling tinggi untuk perlindungan data.

    Beliau juga berkata sistem itu boleh digunakan apabila memohon pekerjaan, mendaftar masuk ke hotel atau di tempat dengan syarat umur.

    “Apa pun keadaannya, dalam talian atau secara peribadi, anda memilih apa yang dikongsi, anda bersetuju untuk dikongsi dan anda boleh percaya ia selamat,” katanya kepada kelab akhbar itu.

     “Semua yang telah ditukar hanyalah thumbs up digital daripada kerajaan bahawa anda adalah seperti yang anda katakan,” tambahnya lagi.

    Rekod tentang maklumat yang dikongsi dan dengan siapa ia dikongsi akan tersedia untuk pengguna dalam sistem myGov.

    Pelancaran TEx akan diuruskan oleh Services Australia, yang akan bekerjasama dengan sistem kerajaan lain. – Xinhua

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda