BELAGA, 5 April – Kerajaan meluluskan peruntukan RM76 juta untuk memberikan tanah seluas 1.21 hektar kepada setiap penduduk yang terlibat dengan program penempatan semula di Bakun susulan pembangunan Stesen Janakuasa Elektrik Hidro Empangan Bakun.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau juga meluluskan peruntukan RM9 juta bagi membina jalan-jalan ladang di kawasan berkenaan, khusus untuk kemudahan mereka. Beliau berkata dengan pemberian tanah serta penyediaan rangkaian jalan ini, diharapkan ia dapat membantu menambah sumber rezeki mereka yang terlibat, dan membangunkan pertumbuhan ekonomi setempat dengan lebih pesat.
“Stesen janakuasa ini kita berikan kembali kepada Sarawak kerana saya lihat ia munasabah, kerana ia dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya semasa berucap di majlis penyerahan stesen janakuasa elektrik hidro Bakun, di sini hari ini.
Pengurusan stesen janakuasa ini diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Sarawak susulan pembelian saham 100 peratus Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB) milik Kementerian Kewangan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan oleh Sarawak Energy Bhd dengan nilai RM2.5 bilion, pertengahan Ogos lepas.
Najib berkata beliau juga melihat keperluan tenaga di Sarawak kini telah melonjak kepada 3,500MW berbanding sekitar tahun 2009, ekoran pembangunan ekonomi yang pesat di negeri ini.
Menurutnya dengan pemilikan stesen janakuasa ini, ia bukan sahaja boleh menawarkan tarif elektrik yang rendah untuk rakyat tempatan, malah berjaya menarik ketibaan pelabur dengan lebih rancak.
“Banyak industri menggunakan tenaga yang tinggi, mereka akan memilih untuk melabur di Sarawak ini. Sebagai perbandingan kos elektrik di Sarawak adalah terendah, yakni 28.2 sen kwj (kilowatt-jam) berbanding 39.45sen kwj di Semenanjung dan 34.5 sen di Sabah,” katanya. – Bernama