Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kerajaan Britain gesa ujian COVID-19 di sekolah

    UNITED KINGDOM, 3 JAN – Pelajar sekolah kembali ke sekolah hari ini di beberapa bahagian Eropah, manakala kerajaan Britain berjanji untuk menyegerakan unit pengudaraan dan kit ujian COVID-19 yang mencukupi ke sekolah untuk memastikan ia juga boleh dibuka semula minggu ini walaupun kadar jangkitan meningkat di UK.

    Pelajar sekolah menengah di England juga akan diwajibkan memakai pelitup muka apabila mereka kembali ke sekolah selepas cuti Krismas dan mereka juga boleh menghadapi kelas gabungan di tengah-tengah kekurangan kakitangan dan tenaga pengajar.

    “Keutamaan adalah untuk memastikan sekolah dibuka,” kata Setiausaha Pendidikan Britain, Nadhim Zahawi kepada Sky News. “Pengujian, sokongan kakitangan yang kami sediakan dan sudah tentu pengudaraan akan membuat perubahan besar kepada sekolah tahun ini.”

    Varian Omicron yang sangat mudah menular telah menyebabkan beban kes baharu harian Britain melonjak pada Krismas dan Tahun baharu, dengan 137,583 jangkitan dan 73 kematian dilaporkan untuk England dan Wales setakat kelmarin. Sementara itu, jumlah untuk Scotland dan Ireland Utara akan diumumkan selepas cuti hujung minggu.

    Setiausaha agung kesatuan guru Britain (NASUWT), mengalu-alukan berita bahawa lebih banyak unit pengudaraan dan kit ujian akan tersedia, tetapi memberi amaran kelmarin bahawa industri pendidikan mempunyai satu lagi masalah mendesak ketika sekolah bersedia untuk dibuka semula.

    “Ketersediaan guru dan kakitangan sokongan juga merupakan titik tekanan utama bagi sekolah pada penggal ini kerana bilangan kes COVID-19 terus meningkat,” kata Roach.

    Zahawi menangani isu tersebut hari ini berkata, kerajaan terus memantau ketidakhadiran kakitangan di tengah-tengah pandemik itu. Beliau memberitahu Sky bahawa ketidakhadiran adalah sekitar lapan peratus tahun lalu. “Jika itu meningkat lagi maka kita melihat perkara seperti menggabungkan kelas, mengajar dalam jumlah yang lebih besar,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...