Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan Greece rancang hukuman berat untuk kesalahan pembakaran hutan

    ATHENS, 1 OGOS – Pihak berkuasa Greece merancang hukuman lebih berat untuk pembakaran hutan dengan denda akan dinaikkan kepada 10 kali ganda daripada tahap semasa berikutan beberapa kejadian kebakaran hutan besar yang telah menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding jumlah tahunan tahun 2022.

    Menteri Perlindungan Awam, Vassilis Kikilias berkata butiran mengenai langkah-langkah itu akan diumumkan bulan depan, tetapi beliau menambah bahawa denda kerana menyebabkan kebakaran dengan sengaja atau kerana tingkah laku cuai sepadan dengan hukuman yang diperkenalkan dua tahun lalu bagi penderaan haiwan. Hukuman tersebut membawa denda sehingga 50,000 euro (AS$55,000) dan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

    “Saya bertanggungjawab untuk mengatakan musim kebakaran selepas ini akan berdepan keadaan yang berbeza, ia bukan hanya hukuman, denda akan dinaikkan 10 kali ganda tetapi kami memerlukan perubahan dalam mentaliti,” kata Kikilias dalam temu bual dengan televisyen negara lewat Isnin.

    Perubahan itu, katanya, termasuk program sekolah dan inisiatif tempatan untuk menggalakkan kesedaran pencegahan kebakaran hutan.

    Greece memerangi 10 kebakaran hutan besar bulan lalu, termasuk kebakaran di luar Athens dan di pulau Rhodes, semasa tiga gelombang panas berturut-turut.

    Lebih daripada 500 kilometer persegi (hampir 200 batu persegi) tanah telah terbakar setakat tahun ini, lebih daripada dua kali ganda jumlah tahunan pada 2022, menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah, sebuah agensi Kesatuan Eropah yang mengesan kerosakan akibat kebakaran hutan menggunakan data satelit. – AP

    Ilias Kyriakou, 25, menarik sebatang dahan zaitun ketika api membakar di kampung Gennadi, di pulau Laut Aegean Rhodes, tenggara Greece, 25 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda