KUCHING, 30 DIS – Projek mega Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang kira-kira 800 kilometer (km), bermula dari Telok Melano-Sematan sehingga ke Lawas tetap diteruskan walaupun berlaku peralihan kerajaan.
Ia selaras dengan prinsip kerajaan baharu yang mahu jaringan perhubungan infra di Bumi Kenyalang sama dengan di Semenanjung, seiring dengan aspirasi rakyat Sarawak.
Projek Pan Borneo Sarawak melibatkan 11 fasa, kini sedang giat dilaksanakan, kebanyakannya melibatkan proses menaik taraf Jalan Persekutuan daripada dua kepada empat lorong kecuali Jajaran Teluk Melano-Sematan, satu-satunya jajaran baharu dibina atas permintaan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Menteri Kerja Raya Baru Bian menyifatkan projek Pan Borneo sebagai satu projek kejuruteraan terhebat di Kepulauan Borneo, selain tidak akan mengenakan kutipan tol bagi Lebuhraya Pan Borneo, di Sarawak atau Sabah.
Pada 4 Januari 2019, Jajaran Telok Melano–Sematan sepanjang 33km bernilai RM580 juta yang mula dibina pada 15 September 2015, di hujung selatan Sarawak, siap sepenuhnya serta dibuka secara rasminya kepada pengguna.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika majlis perasmian jajaran itu pada Januari 2019 berkata pembukaan jajaran Telok Melano secara tidak langsung telah membuka peluang ekonomi di kawasan berpotensi terutamanya dalam sektor ekopelancongan.
Mengucapkan terima kasih kepada kerajaaan Pakatan Harapan (PH) melalui Menteri Kerja Raya Baru Bian kerana meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, Abang Johari berkata: “Apabila ada perubahan kerajaan di kerajaan pusat, Baru Bian dilantik (sebagai menteri kerja raya)… tak ada hal parti, kita bersatu kerana Sarawak walaupun politik berlainan.”
Keseluruhan projek Pan Borneo Sarawak yang dijadual siap sepenuhnya pada Jun 2021, melibatkan pembinaan 115 jambatan, 25 persimpangan bertingkat, tiga kawasan Rehat dan Rawat serta enam hentian.
Projek infrastruktur itu berhadapan dengan pengubahsuaian model Rakan Pelaksana Projek (PDP) apabila Kerajaan Persekutuan mengeluarkan surat penamatan kepada Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU), rakan pelaksana projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak pada 20 September. – Bernama